Articles

TRIO Umno penayang video lucah - Abdul Rahim Tamby Chik, Shazryl Eskay dan Shuib Lazim dilaporkan sanggup ke tanah suci Makkah untuk bersumpah di hadapan Kaabah bagi membuktikan kebenaran tuduhan mereka terhadap pembabitan seorang pemimpin pembangkang dalam video lucah hitam putih berteknologi rendah yang kini sudah menjadi tatapan umum termasuk kanak-kanak di bawah umur.

Pengumuman itu dibuat mereka melalui akhbar yang mempromosi video pornografi, Utusan Malaysia bertarikh 20 April lalu. Akhbar ini khabarnya diedarkan secara percuma di sekolah-sekolah terpilih atas biaya Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan yang berketuakan seorang pencinta budaya Melayu, Dr Rais Yatim.

"Kami bukan sahaja sanggup ke mahkamah tetapi juga bersedia melakukan sumpah laknat di mana sahaja termasuk di depan Kaabah. Ini kerana saya yakin, kami di pihak yang benar dan tiada sebarang keraguan bahawa lelaki itu memang Anwar," kata Eskay, seorang muallaf.

Kenyataan Eskay itu disokong Rahim dan Shuib. Malah Shuib yang dilapor suka menginap di salah sebuah hotel di ibu negara atas urusan yang beliau dan Allah SWT sahaja yang tahu mendakwa, 'perjuangan' menyedarkan rakyat mengenai moral adalah lebih penting berbanding kebimbangan dikenakan hukuman mahkamah.

Trio Umno pejuang moral itu diminta mengulas kemungkinan akan didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menayangkan rakaman video seks kepada umum. Video seks itu disiarkan pula oleh blogger pro-Umno dan dimuat turun di Youtube. Trio Umno dan polis menafikan menjadi 'jembalang' kepada kegiatan tidak bermoral itu. Dan pihak yang melakukan perbuatan tidak berakhlak itu masih menjadi tanda-tanya sehingga sekarang menyebabkan Ketua Polis Negara menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

Artikel ini bukan ditulis untuk mengulas isu video seks yang dipromosikan Utusan Malaysia dan Kosmo!, tetapi hanya sekadar ingin menyentuh kesediaan trio Umno untuk bersumpah laknat di hadapan Kaabah.

Memanglah kita sedari kejahilan trio Umno terhadap hukum agama dan syariah Islam. Dan tidak wajar pula untuk mengulas isu fitnah video seks ini kerana ia hanya sekadar memanjangkan lagi 'lidah syaitan'.

Tetapi budaya sebahagian masyarakat Islam di negara kita yang begitu mengagungkan Kaabah dan Hajar Aswad perlu dibendung supaya ianya tidak sampai ke peringkat syirik.

Ketika Makkah diselimuti fahaman jahiliah, masyarakatnya menyembah berhala. Bahkan kaum Quraisy telah meletakkan tidak kurang dari 360 berhala di dalam dan di sekitar Kaabah. Dalam keadaan itupun, mereka tidak terfikir untuk menyembah Kaabah kerana dalam keyakinan mereka Kaabah bukan tuhan atau berhala.

Mereka hanya melakukan ibadah dan tawaf di sekelilingnya. Kaabah bagi para penyembah berhala itu bukanlah berhala yang disembah. Kaabah bagi mereka adalah rumah Allah SWT untuk melaksanakan ibadah.

Ketika raja Abrahah dari Habsyah mengancam menyerbu Kaabah dengan tentera bergajah, kaum Quraisy tidak merasa takut akan musnahnya Kaabah. Mereka yakin bahawa Kaabah bukan tuhan tetapi 'rumah Allah'. Sudah tentu tuan punya rumah itu akan menjaganya.

Datuk Nabi Muhammad s.a.w., seorang pemuka Quraisy, pada saat genting itu sibuk mengurus kambing-kambing miliknya yang dirampas Raja Habsyah. Abdul Muttalib lebih risaukan kambingnya yang dijarah tentera Abrahah daripada matlamat mereka datang ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah.

Seorang Quraisy bertanya kepadanya: "Wahai Abdul Muttalib! Mengapa engkau sibuk mengurus kambing-kambingmu sedang rumah Tuhanmu hendak dihancurkan?"

Maka beliau menjawab: "Kambing ini kepunyaan saya maka saya menjaganya, sedangkan Kaabah kepunyaan Allah maka Dialah yang menjaganya."

Dan Allah menerangkan dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia, dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat)." (Surah Al-Fiil: 1-5)

Begitulah tamatnya episod tentera bergajah.

Khalifah ar-Rasyidin, Saidina Umar Al-Khattab terkenal dengan ungkapannya yang abadi: "Sesungguhnya aku tahu bahawa engkau (hajar aswad) adalah batu yang tidak membahayakan, dan tidak pula dapat memberi manfaat. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, maka sekali-kali aku tidak akan menciummu." (Riwayat Bukhari)

Peringatan Saidina Umar itu perlu bagi mengingatkan umat Islam agar tidak terlampau mengagung hajar aswad, salah satu komponen penting Kaabah kerana ia boleh mengundang syirik.

Umat Islam menghadap Kaabah ketika solat dan tawaf mengelilinginya atas perintah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan." (Surah Al-Baqarah: 144)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi s.a.w. mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah dengan menunggang seekor unta pada ibadah haji terakhir dan menyentuh hajar aswad dengan tongkatnya. (Sahih Bukhari juz 2, no. 677)

Dengan demikian nyatalah bahawa Kaabah dan Hajar Aswad hanyalah batu yang tidak dapat mendatangkan celaka atau tidak dapat mendatangkan untung kecuali dengan izin Allah SWT.

Maka hasrat untuk bersumpah laknat di hadapan Kaabah bukanlah daripada ajaran Islam kerana tidak terdapat sebarang nas berhubung kelebihan bersumpah di hadapan Kaabah berbanding di tempat-tempat lain.

Sumpah laknat juga hanya dibenarkan dalam kes li'an, iaitu sisuami yang bersumpah bahawa isterinya seorang yang curang dan nusyuz (derhaka). Sumpah suami juga tidak membolehkan isterinya dihukum hudud kerana ia hanya membersihkan sisuami daripada jenayah Qazaf (menuduh seseorang melakukan zina tanpa empat orang saksi lelaki yang adil) dan bukan mensabitkan kesalahan siisteri.

Hanya yang wujud adalah nas-nas tentang kelebihan beribadah (solat dan beriktikaf) di Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa dan kesemua ibadah yang dilakukan itu juga perlulah menepati kehendak syariah dan bukan sekadar ikut-ikutan seperti diyakini trio Umno.

Mutakhir ini Masjidil Haram dan Kaabah seringkali dijadikan objek untuk mempamerkan 'komitmen' seseorang terhadap Islam yang dianutinya. Ada yang bernikah di Masjidil Haram dan bergambar di hadapan Kaabah selepas majlis pernikahan. Malangnya apabila pulang ke tanah air, si pengantin perempuan hanya berkemban apabila bersanding di pelamin dan majlis kenduri kahwin itu pula mengandungi unsur-unsur yang tidak menepati syarak.

Banyak lagi kejadian orang ternama yang menggunakan Masjidil Haram untuk mempamerkan imej warak mereka di mata umum. Bagaimanapun apa yang mahu dilakukan oleh trio Umno, iaitu bersumpah laknat di hadapan Kaabah, adalah bid'ah terbaru kumpulan juhala dan jahil murakkab (jahil yang bertimpa-timpa) yang sudah lama berkampung di dalam Umno.

Insafilah bahawa sumpah laknat hatta di hadapan Kaabah pun tidak akan melepaskan mereka daripada jenayah qazaf.

Elok kiranya artikel ini diakhiri dengan petikan buku "Qazaf: Mangsa Fitnah" tulisan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang:

"Orang yang dituduh melakukan perbuatan zina (al-maqzuf), liwat atau sepertinya tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang perlu dibicarakan ialah orang yang menuduh. Sebab dia telah melemparkan tuduhan qazaf (melemparkan tuduhan zina) maka dia wajib mengemukakan bukti-bukti yang kukuh.

"Kaedah syariat berkenaan hal ini adalah: Orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dan orang yang dituduh wajib mengucapkan sumpah. Bagaimanapun dalam kes seperti ini, orang yang dituduh tidak dituntut untuk bersumpah. Sebab pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan, seperti mana secara hukum asalnya setiap muslim mesti berbaik sangka dan memandang dengan pandangan yang baik sesama mereka.

"Adalah hak setiap orang yang dituduh dengan tohmahan keji ini untuk menuntut orang yang menuduhnya dalam satu perbicaraan mahkamah syariah yang adil. Manakala kewajipan seorang kadi muslim yang menangani kes ini dengan cara yang diredhai Allah dan hukum syariat-Nya adalah: Menuntut penuduh untuk mengemukakan bukti dakwaannya, iaitu empat orang saksi sepertimana yang diterangkan oleh al-Qur'an. Jika dia tidak berbuat demikian maka gugurlah dakwaannya.

"Kadi wajib menegakkan hukuman Allah ke atas dirinya iaitu dengan menyebatnya sebanyak 80 sebatan, menghilangkan haknya dalam memberikan kesaksian, dan mengecapnya sebagai fasik melainkan jika ia bertaubat."

Setelah membaca penjelasan ini, masih adakah manusia bergelar muslim sanggup pergi ke hadapan Kaabah untuk bersumpah laknat semata-mata untuk menuduh "si polan bin si polan telah melakukan zina?"