Ceramah berkelompok lebih berkesan kepada pengundi wanita

| .

(Wanita yang hadir dalam ceramah berkelompok di Sungai Besar)

 

SUNGAI BESAR: Pendekatan kempen melalui ceramah kelompok meningkatkan sokongan dari pengundi kaum wanita terutamanya mereka yang berada di kampung-kampung.

Perkara itu dijelaskan oleh calon Dun Sungai Panjang (PAS), Mohd Fadzlin Taslimin kepada Harakahdaily yang sempat mengikut program kempen beliau.

Jelasnya lagi, melalui ceramah kelompok beliau dapat menarik lebih ramai pengundi wanita dan mudah untuk memberi penerangan.

"Mungkin pendekatan saya ini berlainan yang mana saya lebih kepada ceramah kelompok, bagi saya ini satu pendekatan terbaik untuk saya mendekati pengundi wanita.

(Mohd Fadzlin [tengah] bercakap dengan seorang wanita di Sungai Besar)

 

"Sepanjang 5 hari saya berkempen terdapat peningkatan sokongan dari pengundi wanita apabila kita mengadakan penerangan melalui ceramah kelompok," katanya.

Tambahnya lagi, golongan wanita lebih suka mendengar dalam suasana yang ringkas dan dalam kelompok yang kecil kerana ia dapat memberikan pemahaman yang jelas.

Jelasnya, bukan beliau tidak mengadakan ceramah yang besar melibatkan pimpinan utama, tetapi kebiasaan yang hadir majoritinya golongan lelaki dan golongan lelaki yang hadir tidak menyampaikan apa yang diterangkan pada ceramah tersebut kepada isteri mereka.

Fadzlin turut menyatakan selain peningkatan sokongan golongan wanita, masyarakat Melayu turut cenderung sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.

"Saya juga melihat sokongan masyarakat Melayu ada kecenderungan kepada Pakatan Rakyat, ini adalah hasil dari penjelasan kita tentang kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Mereka sedar dan mengakui apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri dan apa yang mereka perolehi sepanjang lima tahun pemerintahan Pakatan Rakyat," sambung beliau.

Faktor bahawa Pakatan Rakyat adalah kerajaan di Selangor banyak membantu kempen PAS kali ini berbanding pilihan raya 2008.

Ini kerana, orang kampung lebih hormat kepada kerajaan berbanding pembangkang.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan dengan penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam PAS juga turut menunjukkan masyarakat Melayu mula berminat dengan PAS.

Fadzlin menegaskan walaupun tumpuan diberikan kepada masyarakat Melayu, pengundi-pengundi Cina dan India walaupun mereka terus menyokong Pakatan Rakyat tumpuan turut diberikan bagi memastikan hubungan silaturahim itu terus terjalin.