Kuala Nerus: Peluang PAS sangat cerah

| .

Kuala Nerus disambungkan dengan Kuala Terengganu melalui Jambatan Sultan Mahmud yang merentas Sungai Terengganu.

Setiap kali rakyat Terengganu mahu melalui jambatan ini, mereka dikenakan tol 50 sen. Namun itu kisah lama. Pada malam keputusan pilihan raya umum diumumkan pada tahun 1999, tol 50 sen itu telah dimansuhkan.

Ia berlaku sebagaimana janji PAS dalam pilihan raya itu, mahu menghapuskan tol di atas jambatan itu. Sebaik saja PAS menang dalam pilihan raya 1999, belum lagi kerajaan dibentuk, tol di situ sudah dimansuhkan melalui arahan pentadbiran. Kini yang tinggal hanya rumah tol sahaja.

50 sen bagi orang berada mungkin tidak besar tetapi bagi peraih ikan, petani atau nelayan, RM1 pergi dan balik melalui jambatan itu satu nilai yang besar.

30 hari atau sebulan bermakna RM30 mereka belanjakan untuk tol sahaja. Sebab itu selepas ia dimansuhkan, ia menjadi satu perkara yang melegakan banyak pihak.

Apabila naik ke jambatan ini dari Kuala Terengganu, kita boleh melihat arca-arca menarik yang dibina oleh bekas MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dengan menggunakan wang ehsan.

Namun ianya semua arca sahaja yang tidak boleh digunakan. Masjid kristal nama sahaja masjid tetapi tidak dibuat solat Jumaat di situ.

Kini pembangunan di Terengganu tertumpu kepada kawasan Parlimen Kuala Nerus. Banyak bangunan menarik dibina di sini termasuklah Stadium Sultan Mizan yang roboh itu.

Kini stadium itu tinggal bahagian konkrit sahaja kerana bumbungnya yang runtuh sudah mula dibuang (gambar). Pelik juga, bahagian konkrit hingga ke bawah gagah berdiri tetapi bumbungnya sudah hilang.

Rupa-rupanya, konkrit direkabentuk oleh arkitek terkenal Terengganu Datuk Raja Bahrin manakala bumbungnya direkabentuk dan dipasang oleh pihak lain iaitu syarikat Sohwon dari Korea.

Selain stadium, di Kuala Nerus juga ada dua universiti, Institut Pendidikan Guru (IPG) pusat latihan Petronas dan lain-lain. Pendekata Kuala Nerus bergerak laju bersama arus pembangunan negara.



Pilihan raya



Dalam pilihan raya 1999 juga, PAS buat pertama kali menang di Parlimen Kuala Nerus. Ia dimenangi oleh Mohd. Shukrimun Shamsuddin mengalah calon Umno.

Namun pada pilihan raya 2004 dan 2008, Shukrimun yang kini Yang Dipertua PAS Kuala Nerus gagal mempertahankan kerusi itu.

Pada amalan biasa PAS, mereka yang kalah dua kali berturut-turut jarang diletakkan sekali lagi sebagai calon. Jadi besar kemungkinan PAS akan meletakkan calon baru di kerusi itu dalam pilihan raya ini.

Nama yang paling popular adalah Dr Khairudin Aman Razali (gambar kiri) atau lebih dikenali dengan nama Khairudin At-Takiri. Beliau adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat.

At-Takiri adalah sempena dengan nama kampung kelahirannya Seberang Takir, sebuah kampung yang terletak di kawasan Kuala Nerus. Seberang Takir terkenal dengan nelayannya dan keropok lekornya yang sedap.




Dewan Undangan Negeri



Di bawah Parlimen Kuala Nerus ada empat kawasan DUN iaitu Bukit Tunggal, Tepoh, Teluk Pasu dan Seberang Takir.

Kini PAS hanya menang di Bukit Tunggal melalui Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak. Dalam pilihan raya umum 2008, Dr Alias menang dengan majoriti 336 undi mengalahkan calon BN, Tuan Arif Sharibu Fadilah Tuan Ahmad.

Menurut desas desus di Pekan Batu Enam, Dr Alias akan kekal bertanding di Bukit Tunggal. Begitu juga calon PAS di Teluk Pasu pada tahun 2008, Ridzuan Hashim.

Dalam pilihan raya akan datang ini, seorang jurutera JKR, Mohamad Yasin dikatakan menjadi calon yang paling popular dari Umno untuk merampas kerusi Bukit Tunggal dari Dr Alias.

Calon PAS di Tepoh dikatakan akan bertukar kepada calon baru. Seorang tokoh baru yang merupakan Exco Pemuda PAS Terengganu, Hishamudin Abdul Karim (gambar bawah kanan) dilihat banyak memimpin program-program PAS di Tepoh.

Jika benar, beliau bakal bertembung dengan Ustaz Ramli Nuh, Timbalan Exco Agama Terengganu yang lebih dikenali Adun 10 peratus ini. Sudah beberapa kali Ramli Nuh mencabar tokoh muda ini berdebat melalui ceramah-ceramahnya.

Namun apabila dihantar surat rasmi untuk berdebat, Ramli tidak pula menerimanya. Beliau hanya diam dalam rumah besarnya sahaja. Yang pasti sejak itu, tidak ada lagi cabaran berdebat dari Ramli.

Jika benar ada dua muka baru PAS di Kuala Nerus ini, bermakna sasaran untuk mencalonkan 40 peratus muka baru PAS di Terengganu, ia bakal menghampiri kenyataan. Di Kuala Nerus saja, dua muka baru akan bertanding iaitu Tepoh dan Kuala Nerus.

Berdasarkan persetujuan 2008, DUN Seberang Takir akan ditandingi oleh calon PKR. Namun, sehingga kini tidak ada sebarang kelibat siapakah akan  bertanding di Seberang Takir dari PKR.

"Jika PKR tidak bersedia, PAS sedia untuk mengambil alih tempat ini," kata Penyelaras DUN Seberang Takir dari PAS, Zakaria Dagang.

Sejak dari dulu, Seberang Takir adalah kubu Umno. Ini kerana, di situ ada sebuah kem tentera yang selama ini menjadi 'deposit tetap' untuk BN.

Namun senario kebelakangan ini agak berubah. Tentera tidak lagi akan mengundi secara tertutup di dalam kem masing-masing. Wakil calon (polling agent) parti-parti yang bertanding kini dibenarkan memerhatikan proses pengundian.

Menurut Zakaria, undi tentera di kem itu kini hanya  kira-kira 1,600 sahaja kini berbanding dengan hampir 2,000 sebelum ini.

Dalam pilihan raya 2008, calon PKR Muzafeq Affyuzaifuzan Mamat kalah kepada calon BN Ahmad Razif Abdul Rahman dengan majoriti 2,430 undi.


Prospek Kuala Nerus


Menurut Dr Briget Welsh, pengkaji sains politik Asia Tenggara, PAS hampir pasti menang di  Parlimen Marang manakala BN hampir pasti menang di Kemaman, Besut dan Setiu di Terengganu.

Ini bermakna, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Hulu Terengganu masih kelabu. Ia boleh pergi ke PAS atau kepada Umno dalam pilihan raya umum kali ini.

Bagi satu kajian lain pula, PAS hampir pasti akan menang di Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.  Namun semuanya boleh berlaku dalam pilihan raya kali ini.

"Saya yakin kita (PAS) boleh menang dengan majoriti lebih 1,000 undi di Parlimen Kuala Nerus," kata Zakaria Dagang (gambar kiri), petugas veteran di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu.

Di samping itu, Zakaria juga menjangkakan PAS akan menang di DUN Tepoh, Telok Pasu dan sudah pasti di Bukit Tunggal dalam pilihan raya ini.


LAPORAN BERKAITAN


P36 K Terengganu: Kawasan politik bergelora