Saya menjenguk secara sepintas lalu manifesto BN dan PR.  Dua-dua bagus dan menguntungkan rakyat, saya kira.  Itu sekadar sekali pandang oleh orang awam, tanpa analisis yang mendalam.  Mana-mana manifesto jika dapat dilaksanakan, alhamdulillah.  Dan jika kedua-dua manifesto dapat direalisasikan, saya OK juga.  Asal sahaja mensejahterakan negara dan rakyat.

Persoalan yang lebih utama bagi saya ialah orang yang bakal memimpin negara kita.  Jenis manakah?

Manifesto baik jika orang yang melaksanakannya itu jenis yang amanah, maka baiklah proses dan hasilannya nanti.

Sebaliknya, jika manifesto baik tetapi pelaksananya tidak amanah, maka benda yang baik pun akan jadi kotor dan rosak.

Ibarat kereta sehebat Ferrari.  Jika orang yang memandunya berhemah, maka baiklah kenderaan itu, mendesup tidak menyusahkan orang lain dan ‘O&O cost’ pun sangat baik.  Tapi jika pemandunya bangsat, maka semua akan terpalit akan kebangsatannya itu.  Kereta boleh rosak, pengguna jalan raya lain akan terganggu dan pemandu itu sendiri boleh tercelaka sendiri.

Fikirlah dalam-dalam mengenai perkara yang penting ini.  Pilihlah pemimpin yang ada unsur al-amanah dan al-quwwah.  Fikirlah dengan rasional.  Ukurlah dengan iman.

Elemen al-quwwah iaitu berkemahiran, berkecekapan, berilmu dan berketrampilan memang banyak ada pada manusia hari ini lantaran perkembangan institusi ilmu dan peluang memperolehinya.  Saya kira kedua-dua BN dan PR ada elemen ini.

Tetapi elemen yang sangat kurang malah asing pada manusia hari ini ialah elemen al-amanah.  Elemen al-amanah iaitu jujur, amanah dan dipercayai inilah menjadi elemen kritikal yang perlu dibuat penilaian oleh semua kita ketika membuat pemilihan pemimpin.  Mana satukah yang lebih mempunyai elemen al-amanah?  PR atau BN?

Jika kita memperhalusi dan menitikberatkan dua elemen di atas, seterusnya memilih pemimpin berdasarkan pertimbangan itu, nescaya banyak kebaikan akan diperolehi masyarakat.  Justeru, janganlah hanya melihat kepada manifesto sahaja.  Manifesto adalah janji.  Janji orang yang tidak amanah belum tentu ditepati walau dia mencanangkan ‘Janji Ditepati’.

Moga Malaysia jadi negara yang sejahtera dan mendapat keampunan ALLAH.  Baldatun toyyibatun wa Rabbun ghafuur.

Muka-muka ni saya tak percaya! Maaf.

 

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Share on Myspace