Saya memulakan ceramah saya di Felda Sg Klah malam tadi dengan mengucapkan tahniah kepada peneroka-peneroka, isteri (isteri-isteri peneroka dan janda-janda peneroka) serta anak (anak-anak peneroka Felda) yang telah menerima RM15,000.00.
Umpan ini agak besar jika dibandingkan dengan umpan-umpan sebelum ini, hanya peneroka-peneroka tidak diberitahu bahawa sepatutnya mereka boleh mendapat RM50,000 bukan RM15,000 hasil dari penggadaian seluas 850000 ekar tanah Felda Plantation kepada FGV.

Peneroka Felda Sg Klah adalah terdiri daripada mereka yang sangat perihatin apabila saya bertanya, "Baki RM35,000.00 lagi tu pergi ke kantung mana?"  Mereka jawab, "Roooosmaaaah."  Ya, RM35,000 itu disorokkan daripada pengetahuan peneroka-peneroka dan akan dijadikan umpan sedikit demi sedikit untuk memancing peneroka-peneroka.

Wang RM5000 kepada peneroka, RM5000 kepada isteri peneroka dan RM5000 kepada anak peneroka bukan boleh bertahan lama, tak sampai beberapa bulan wang itu sudah kering.  Maka umpan baru dihulurkan ke mulut peneroka-peneroka iaitu BRIM RM500.00.  BRIM pertama sudah kehabisan dalam tempoh beberapa hari sahaja.  Ini BRIM kedua, hari ini dapat, namun minggu hadapan sudah tiada.

Ini menggelisahkan Mr Najib.  Tabur umpan, umpan dah habis, tetapi peneroka masih tidak puas hati.  Ramai peneroka kini meninggalkan UMNO kerana isu yang lebih besar tidak diselesaikan oleh Felda dan UMNO.

Mereka tidak puas hati kenapa kini mereka dibebankan dengan hutang baru sebanyak RM5000.00 kerana pemberian 800 unit saham FGV.  Kalau betul Felda nak bantu peneroka kenapa peneroka kena membayar RM3640.00 untuk 800 unit saham itu dengan hutang berjangka (selama 6 bulan).  Ada pengurus-pengurus Felda menjanjikan kepada peneroka-peneroka ini bahawa mereka boleh menjadi senang lenang apabila memiliki saham 800 unit itu, dan ada pulak golongan-golongan didalam GPW yang berkempen: "Rugilah kalau kita tak ambil 800 unit saham tu, nanti orang lain jadi jutawan, kita terkebil-kebil melihat orang jadi senang."  Kempen ini cukup berkesan sehinggakan bukan sahaja orang UMNO dan orang atas pagar mengambil saham ini bahkan orang Pakatan Rakyat pun ambil juga.

"Ah..kamu orang PAS, orang PKR ada ambik tak?" Saya tinggikan suara saya bertanya kepada hadirin.  "Ambiiiiik!!!" jawapan dari mereka.

"Dah jadi jutawan sekarang?"

"Dah jadi tak tentu keruan!!!!" jawapan mereka.

Tetapi tak mengapa, saya teruskan ceramah, kan Felda dan UMNO itu baik, tuan-tuan berhutang dengan bank sebanyak RM3640, Felda ambil alih hutang tu, maka hutang tuan-tuan dah jadi kosong dengan bank, tak berhutang lagi.

"Kenapa Felda ambil alih hutang dari bank tu?  Ada yang tahu?" saya limparkan soalan itu kepada hadirin.

"Tak tau..!!!" mereka jawab.

Hutang dengan bank itu bertempoh (6 bulan) kalau tak bayar dalam tempoh tu bank akan saman.  Dan cubalah bayangkan betapa marah seluruh 112,000 keluarga peneroka kepada Felda dan UMNO jika mereka disaman oleh Bank.  Maka Felda ambil alih hutang itu semata-mata nak mengelakkan peneroka-peneroka marah kepada UMNO dan Felda dan untuk mengelakkan supaya peneroka-peneroka lari dari UMNO!!!

Tapi apa nak disusahkan.  Kan Felda beri tuan-tuan setiap bulan RM50.00 kerana Felda ambil alih hutang itu?  Tanya saya sinis.  "Tidak Haji....kami yang kena bayar RM50.00 sebulan kepada Felda!!!"

Ho...ho..saya teruskan ceramah saya.  Dulu saya dan Mazlan Aliman dah beritahu, jangan ambil saham 800 unit tu, bukan boleh jadi kaya dengan saham yang tak sampai satu lot tu.  Orang Besaut dan Sg Klah (orang PAS dan PKR) ada yang talipon saya samada boleh ambil atau tidak saham tu.  Saya dah jawab.  Jangan ambil.  Tapi tuan-tuan ambil juga kan?  Tulah.....

Baik.  FGV ni bukan syarikat berdaya maju.  Syarikat ini berniaga dibanyak negara di dunia ni.  Tapi kebanyakannya rugi.  Maka kepada syarikat yang rugi inilah UMNO menaruh kepercayaan untuk disenaraikan.

Berbuihlah mulut kita supaya jangan digadaikan Felda Plantation, itu adalah sumber pendapatan Felda; tanpa Felda Plantation, Felda akan mengalami kekurangan pendapatan dan kebajikan yang boleh dihulurkan oleh Felda kepada peneroka-peneroka serta anak-anak peneroka akan berkurangan.

Tapi apa boleh buat.  Kami Pembangkang.  UMNO guna tv, media, pengurus-pengurus Felda, GPW dan semua badan belia dirancangan Felda.  Secara bisik-bisik, peneroka-peneroka dibisikkan bahawa mereka boleh menjadi orang senang bahkan jutawan jika mereka bersetuju supaya FGV disenaraikan dan Felda Plantation ini digadaikan kepada FGV.

Kita kata bahawa FGV ni takkan maju, takkan ada korporat-korporat besar luar negara nak melabur apabila mereka dapat tahu bahawa ladang-ladang didalam Felda Plantation ini tidak begitu produktif kerana pokok-pokok di kebanyakan ladang itu sudah tua, dan sebahagian lagi ladang-ladang itu baru ditanam, masih belum mengeluarkan hasil.  Mereka ambil kira hal ini.

Selepas disenaraikan; saham FGV melonjak naik, dan Isa Samad dengan penuh kegembiraan menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Felda dan UMNO/BN adalah betul, peneroka-peneroka akan mendapat faedahnya.  Selepas lonjakan itu saham FGV terus jatuh dan merudum hingga RM4.38 sedangkan harga semasa IPO adalah RM4.56.. Ingat-ingat nak jadi jutawan....

Dengan penggadaian Felda Plantation selama 99 tahun kepada FGV, harapan anak-anak peneroka untuk mendapat tanah seperti dijanjikan didalam Buku Jingga hancur berkecai.  Pekerja-pekerja (anak tempatan) Felda Plantation yang bergaji rendah, tak ada SOCSO, KWSP, cuti sakit, cuti tahunan..(mereka sanggup berkeadaan itu kerana menjangkakan tanah yang mereka kerjakan itu menjadi milik mereka akhirnya) hilang segala-galanya.

Felda telah menganiaya anak-anak peneroka dan pekerja-pekerja (anak tempatan) dengan menggadaikan Felda Plantation kepada FGV.

Felda menjanjikan seperti yang termaktub didalam Surat Perjanjian diantara peneroka dan Felda bahawa Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk dikeluarkan geran tanah kebun dan kampung kepada peneroka-peneroka apabila peneroka-peneroka selesai menjelaskan hutang kepada Felda dan bayaran CAC kepada Kerajaan Negeri yang dibuat melalui Felda.

Tetapi sebahagian besar dari peneroka-peneroka Felda tidak dikurniakan geran tanah setelah menjelaskan hutang mereka, sesetengahnya sudah melebihi 16 tahun.  Apa tujuan Felda menafikan geran tanah kepada peneroka-peneroka, tidak lain dan tidak bukan untuk memanipulasikan agar Felda tidak melakukan tanam sendiri tetapi tanam melalui Felda, yang boleh memberikan keuntungan kepada Felda dan merugikan peneroka-peneroka.  Felda akan membuat untung yang besar melalui tanam semula, dan akan untung lagi apabila Felda bersikap seperti ceti memberikan hutang kepada peneroka-peneroka dan dengan penyata pendapatan dan penyata hutang tidak diserahkan kepada peneroka-peneroka.

Berlaku di kebanyakan rancangan Felda di Negeri Sembilan di mana Felda gagal menanam semula untuk peneroka-peneroka, walhal, semasa peneroka menuntut untuk tanam sendiri, Felda tidak mengizinkan dan mereka yang mahu tanam sendiri diugut hingga kononnya mereka itu boleh dipecat dari rancangan Felda.

Di kawasan Felda Rokan di Negeri Sembilan, Felda telah gagal menanam semula hingga sudah melebihi 10 tahun menyebabkan peneroka-peneroka terpaksa menanggung hutang melebihi RM200,000.00 kerana Felda memberikan elaun sara hidup sebanyak RM15000.00 sebulan sedangkan tanah mereka tidak ditanam semula dan mereka tidak mempunyai apa-apa hasil untuk membayar hutang Felda.

Kalau semasa peneroka menuntut untuk tanam sendiri dahulu mendapat tentangan paling keras dari Felda, tetapi kini Felda pulak yang meminta peneroka-peneroka supaya mengambil alih ladang-ladang mereka supaya mereka boleh melakukan tanam sendiri.  Nasi sudah jadi bubur.

Tetapi kepada peneroka-peneroka yang dibebankan dengan hutang oleh Felda tidak perlulah begitu khuatir kerana seperti terkandung di dalam JANJI PALONG,  hutang-hutang peneroka ini akan dimansuhkan.

Dengan meninggalkan satu persoalan kepada peneroka-peneroka samada mereka akan terus menyokong UMNO setelah pendedahan ini dan menerima jawapan bahawa hadhirin serentak mengatakan: "TIDAAAK...!" saya memberhentikan ucapan saya untuk memberi laluan kepada Chua Yee Ling dan YB Dr Mariah.
Share on Myspace