10 akhir Ramadan: waktu terbaik bagi persiapan menjelang PRU-13
| Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah, | 07 Ogs 2012 |
Selasa, 18 Ramadan 1433H. Bermakna sudah 17 hari Ramadan berlalu, dan kini hanya tinggal 12-13 hari lagi untuk kita semua merebut segala fadhilat dan ganjaran yang dijanjikan pada Bulan Ramadan ini. Bagaimana Ramadan kita sehingga ke saat ini? Adakah iman kita telah berlaku transformasi? Bagaimana dengan ketaqwaan kita? Jawablah untuk diri kalian sendiri.
Dua hari lagi, kita semua bakal memasuki fatrah terakhir Ramadan. Fatrah 10 hari terakhir Ramadan yang disimpulkan di dalamnya akan fadilat dan ganjaran yang dapat menjauhkan kita daripada neraka Allah SWT. Sesungguhnya 10 hari terakhir ini adalah tempoh yang sangat genting dan kritikal. Ramai kalangan ummat Islam yang sudah tidak lagi fokus kepada ibadah apabila memasuki 10 akhir Ramadan ini. Bahkan hati-hati mereka sebenarnya lebih merindui kedatangan Hari Raya E’idul Fitri, dengan pelbagai perancangan dan persiapan yang dilaksanakan.
Inilah hakikat manusia, mudah lupa dan mudah untuk berasa puas. Awal Ramadan disambut dengan meriah, pertengahannya mulalah untuk suram, dan fatrah terakhirnya terus dilupakan. Mereka gagal untuk melihat akan ganjaran yang lebih besar yang ada pada 10 terakhir Ramadan itu sendiri. Walhal pada tempoh itu Allah SWT telah menjanjikan satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Pun begitu, bagi seorang pejuang Agama Allah SWT, kalian jangan sekali-kali tergolong dalam golongan yang dinyatakan di atas. Sebaliknya, jadikanlah 10 terakhir Ramadan itu sebagai satu pesta ibadah yang lebih hebat daripada awal dan pertengahannya.
Sebagai seorang pejuang Islam, saya pasti dan yakin bahawa kita semua memahami akan kepentingan hubungan yang erat antara kita dengan Allah SWT. Kita menyakini bahawa Allah SWT sahajalah yang berkuasa untuk menjadikan dan mentaqdirkan sesuatu. Kita juga meyakini bahawa kemenangan itu adalah milik Allah SWT. Kita juga sedar dan percaya bahawa Allah SWT sangat menyukai hamba-hamba-Nya yang berjuang untuk menegakkan Agama Islam yang mulia ini. Dan kita juga meyakini bahawa Allah SWT pasti akan memberikan bantuan, pertolongan bahkan kemenangan kepada para pejuang agama-Nya yang sangat menjaga hubungannya dengan Allah SWT.
Justeru, dalam usaha kita, para petugas parti Islam, mempersiapkan diri kita menjelang PRU-13 nanti, saya merasakan bahawa 10 hari terakhir Ramadan itu adalah tempoh waktu yang sangat sesuai dan terbaik untuk kita semua memperkemaskan persiapan kita menuju jihad pilihan raya yang dikatakan semakin hampir ini. Hal ini kerana, antara persiapan yang paling penting bagi seorang pejuang agama ialah persiapan rohani, yang berkait rapat dengan ibadah dan pengabdian diri kita kepada Allah SWT.
Rebutlah semangat 10 akhir Ramadan ini untuk kita meningkatkan tahap persiapan rohani kita semua. Suka untuk saya cadangkan kepada para pimpinan semua peringkat untuk memberikan fokus kepada program-program berbentuk ibadah khusus seperti Qiamullail dan I’tikaf pada tempoh 10 terakhir Ramadan ini. Ya, mungkin akan ada yang mengatakan, semua itu perlu dilakukan sendiri oleh para petugas islam tanpa perlu menunggu arahan mahupun program daripada Jemaah. Namun sedarlah, ramai para petugas yang tidak mampu dan sangat berat untuk melakukan semua ini secara bersendirian. Pun begitu jika dilaksanakan secara berjemaah, saya percaya bahawa ramai yang mampu memberikan komitmen yang baik.
Akhirnya, ingatlah bahawa PRU-13 itu adalah satu jihad, sedangkan jihad itu adalah satu daripada tuntutan Islam. Jihad adalah sangat penting bagi memastikan Islam itu berada pada tempat yang tertinggi sekali dan dilaksanakan di muka bumi ini. Untuk berjihad, individu Muslim itu perlulah bersedia dari segenap sudut, dan persiapan yang paling penting sekali adalah persiapan rohani. Persiapan rohani ini mampu dibentuk melalui ibadah kepada Allah SWT.
Justeru, gunalah peluang 10 akhir Ramadan ini untuk kita meningkatkan pengabdian diri kepada Allah SWT. Dan ingatlah bahawa Allah SWT menjanjikan kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadat kepada Allah SWT. Ya, kita mendambakan kemenangan pada PRU-13 nanti, untuk kita melaksanakan dan mengamalkan agama Allah SWT secara keseluruhannya di bumi Malaysia ini. Dan pasti kemenangan itu menjadi milik kita jika kita benar-benar ikhlas dan menjaga hubungan kita dengan Allah SWT. Siru ‘Ala Barakatillah. AllahuAkbar.
Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah,
PASTI Negeri Kelantan.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

