Menelusuri sirah nabi Muhammand SAW sepanjang hidupnya, membuatkan kita berbangga kerana diutus nabi akhir zaman seperti baginda. Perjuangan yang nabi lalui tidak pernah mudah jalannya, pelbagai onak duri terpaksa diredahi, demi menegakkan kalimah Allah Maha Pencipta. Tanggal 12 RabiulAwal, Tahun Gajah dilahirkan dengan sambutan yang luar biasa meriahnya, baik di bumi mahu pun di langit, semuanya meraikan kelahiran nabi Muhammad pembimbing umat ini.

“Tidaklah Muhammad itu bapa bagi seseorang dari kalangan kamu akan tetapi dia adalah rasul Allah dan penutup para rasul”. (Surah al-Ahzab: ayat 40)


Tanggal 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiul Awal 1434H. Syukur pada Ilahi, kita diberi kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tidak disambut pada zaman nabi dan para sahabat, tetapi bermulanya sambutan ini ketika zaman tabiin. Sambutan ini diadakan dengan pelbagai tujuan, antaranya adalah untuk mengimbau kembali sirah perjalananan Rasulullah SAW.

Kita sedia maklum bahawa kita perlu mengingati nabi Muhammad sepanjang masa dan tiap ketika, malah beriman kepada Rasul merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Namun, sambutan seperti ini bertujuan meningkatkan semula momentum kita sebagai umatnya untuk bersama-sama mengingati Rasulullah SAW dan mempraktikkan sunnahnya dengan lebih bersemangat.

Justeru, adalah penting bagi masyarakat hari ini untuk memanfaatkan platform yang ada untuk mengenali nabi dengan lebih dekat lagi. Bukan hanya sekadar menyambut hari kelahiran baginda tetapi juga menambahkan ilmu mengenai sirah kehidupan nabi bermula dari kelahiran sehinggalah kewafatan baginda. Antaranya melalui program-program yang dianjurkan sempena Maulidur Rasul seperti ceramah, forum, berzanji dan berbagai-bagai lagi.

Jika kita meneliti sirah baginda SAW, kita akan percaya bahawa sirah ini lebih mudah mengisi hati manusia. Pembacaan ini yang akan membuatkan kita mempunyai rasa untuk mencontohi karakter baginda yang kita kagumi, antaranya sikap baginda yang jujur dan amanah membuatkan baginda digelar dengan gelaran Al-Amin dan meraih kepercayaan penduduk Makkah pada zaman itu.

Sehinggakan peristiwa perletakkan hajarul aswad kembali ke tempat asalnya juga diletakkan sepenuh kepercayaan kepada baginda untuk menguruskannya dengan adil. Memahami sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah sebenarnya membuatkan kita lebih tegar dan tabah, serta berusaha lebih kuat untuk menggapai nilai kehidupan yang sebenar, kerana semua ini yang membentuk peribadi seseorang itu.

Tema sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan kali ini ialah Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. Secara ringkasnya Baginda berdakwah selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Rasulullah berdakwah secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian penerimaan mad’unya. Setelah Rasulullah SAW dilantik menjadi pemimpin umat. Rasulullah sentiasa bersikap wasatiyyah dalam setiap perbuatan dan tutur kata. Rasulullah tidak pernah berlebih-lebih dalam mengangkat diri sebagai pemimpin. Rasulullah tidak pernah merasakan dirinya terlalu ekslusif malah sentiasa memikirkan umatnya terlebih dahulu dalam setiap keputusan yang dilakukannya.

“Janganlah kamu memuji aku berlebih-lebihan seperti kaum Nasrani memuji Nabi Isa Ibn Maryam. Sesungguhnya aku hanya hamba Allah. Maka kamu semua menyebut: Hamba Allah dan Rasul-Nya”. (Riwayat Bukhari,At-Tarmizi,Ahmad & Abu Daud)

Sikap Rasulullah SAW yang tidak angkuh dalam menerima pandangan daripada orang bawahan seperti (dalam peperangan khandak, pandangan seorang yang baru memeluk Islam dan merupakan orang luar dan bukan dalam kalangan arab iaitu Salman Al-Farisi. Salman mencadangkan agar dibina parit yang panjang dan lebar bagi membina benteng pertahanan menghadapi musuh. Pandangan ini merupakan cara yang tidak pernah dilakukan oleh orang-orang Arab, ia adalah cara orang-orang Parsi berperang namun begitu ia tetap diterima oleh Baginda walau siapa pun yang mengutarakannnya) dan sentiasa mengamalkan syura sebelum sesuatu keputusan diputuskan.

Sikap begini yang harus dicontohi oleh semua individu muslim pada hari ini. Sama ada pemimpin mahupun rakyatnya. Di dalam perjuangan dan kehidupan, baginda sering mengamalkan sifat syumul, wasatiyyah, waqiiyah dan lain lain. Justeru, adalah penting untuk kita menerapkan sifat-sifat ini dalm setiap jiwa individu muslim pada hari ini, supaya kesatuan ummah itu mampu kita capai.

Untuk akhirnya, saya menyeru kepada semua remaja, terutamanya mahasiswa dan mahasiswi hari ini, untuk kita sama-sama menjadikan Rasulullah sebagai qudwah kita. Qudwah yang tidak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan, untuk sepanjang zaman. Semoga penghayatan kita pada kelahiran nabi kali ini mampu mengisi hati-hati yang kosong dan mampu mencorak kehidupan yang lebih baik.

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu teladan yang baik; Bagi barangsiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Kemudian dan yang banyak ingat kepada Allah.” (Surah al-Ahzab: ayat 21)

Insya-Allah, dengan segala qudwah yang baik, pencorak akhlak yang terbaik dan mampu memukau mata serta hati kita semua dan membuatkan hati kita ingin mencontohi baginda demi kesatuan ummah. Moga-moga setiap tindakan kita untuk memuliakan baginda ini mampu menjadi bukti, agar kita menjadi salah seorang yang akan diberi syafaatnya oleh baginda di padang mahsyar nanti.

Siti Fatimah Azzahra Mohd Nazri
Sprituality & Islamization Secretariat,
Students’ Representative Council 2012/2013
International Islamic University Malaysia.



KOLUM




eHarakah

Please update your Flash Player to view content.