hanya laman web ini
Mahkamah Pilihan Raya lawan Mahkamah Rakyat...mana yang menjadi pilihan. | | Tiada Malaysia spring, janya pesta himpunan rakyat, kata penganjur. | | Exco Selangor: PAS akur keputusan Tuanku Sultan Selangor. | |

Mahasiswa perlu fokus usaha memberdaya rakyat

Syukri Razab,

Di tengah-tengah kecelaruan politik nasional, mahasiswa menjadi lapisan akhir untuk rakyat meletak kepercayaan. Hal ini bukan sahaja tertulis dalam sejarah Malaysia, tetapi juga tercatat dalam sejarah Indonesia, Iran, Korea Selatan dan banyak lagi Negara Negara lain yang memiliki sejarah gerakan mahasiswa tersendiri.

 

Tidak adil sekiranya parti politik hanya memberi contoh gerakan mahasiswa luar Negara yang menjadi sayap parti politik sebagai hujah untuk menyokong keperluan mewujudkan gerakan mahasiswa sayap parti di Malaysia. Parti Politik seharusnya melihat bagaimana gerakan mahasiswa berfungsi secara keseluruhan. Kebanyakan Gerakan Mahasiswa yang menjadi sayap parti politik di luar Negara lebih memainkan peranan sebagai agen yang mempromosikan polisi-polisi parti induk masing-masing sepertiOxford University Liberal Democrat menjadi agen penerangan kepada Parti Liberal Democrat.

 

Maka sudah pasti parti politik Malaysia juga mengharapkan peranan yang sama untuk digerakkan oleh gerakan mahasiswa yang dinaungi mereka. Hal ini perlu disedari dan dipertimbangkan oleh Gerakan Mahasiswa yang berada di Malaysia. Biarpun ada suara yang mengatakan mahasiswa masih boleh berperanan sebagai agen memberdaya rakyat walaupun menjadi sayap parti, namun pertimbangan yang perlu dilakukan bukan sekadar disekitar “masih boleh berperanan”, tetapi lebih penting  ialah sejauh mana peranan itu mampu memberi kesan terhadap objektif.

 

Sebagai contohnya, walaupun kebanyakan gerakan mahasiswa di United Kingdom merupakan sayap kepada organisasi politik, namun dalam isu-isu utama yang melibatkan kepentingan rakyat, mereka membentuk UK National Union of Student (NUS)  yang dianggotai pelbagai organisasi mahasiswa daripada pelbagai aliran politik.  NUS merupakan badan mahasiswa yang paling vokal dalam mengutarakan isu-isu nasional dan antarabangsa. Hal Ini menunjukkan biarpun dinaungi parti, namun gerakan mahasiswa di UK masih memiliki platform yang kelihatan adil dan tidak bias kepada mana-mana kepentingan politik. Oleh itu, gerakan yang tidak ditempel dengan kepentingan politik masih menjadi nadi utama kepada gerakan mahasiswa United Kingdom.

 

Selain itu, Gerakan Mahasiswa juga perlu melihat kepada lanskap politik Negara-negara luar sebelum meniru corak permainan politik mereka. Antara Negara yang memiliki gerakan mahasiswa sayap parti yang terkemuka adalah seperti United Kingdom, Georgia, Bangladesh dan India. 92 % hingga 98 % rakyat ke empat-empat negara ini yang layak mengundi telah mendaftar sebagai pengundi. Berbanding dengan Malaysia yang mencatat 73% pendaftaran pengundi daripada jumlah yang layak mengundi.

 

Signifikan daripada fakta ini ialah, mungkin masanya sudah sesuai untuk gerakan mahasiswa di United Kingdom, Georgia, Bangladesh dan India melangkah kehadapan dengan terlibat secara langsung dalam  persaingan polisi parti politik.  Hal ini kerana jumlah pendaftaran pengundi yang tinggi menunjukkan rakyat Negara tersebut sedar dan faham mengenai keperluan untuk mereka terlibat dalam arus politik nasional. Oleh itu Gerakan Mahasiswa di sana boleh berevolusi daripada berperanan sebagai pencerah mengenai hak dan demokrasi kepada pemudah cara untuk rakyat memilih parti yang terbaik sebagai pemerintah.

 

Berbeza bagi Malaysia, masih ada peratusan besar rakyat yang bersikap negatif terhadap keperluan untuk terlibat dengan arus politik dan demokrasi. Hal ini didorong oleh pendidikan politik yang tempang dan sistem politik bercelaru yang membingungkan rakyat. Keadaan tambah rumit apabila parti yang memegang tampuk pemerintahan tidak berlaku jujur dengan menafikan hak parti lain daripada menyampaikan polisi masing-masing melalui saluran media yang adil. Hasilnya rakyat sentiasa terdidik dengan doktrin tidak sihat yang menyebabkan lahir pemikiran ekstrim kepartian tanpa menilai pasak rasional dan kebenaran.

 

Tidak cukup dengan kurangnya kecaknaan rakyat terhadap politik, mahasiswa dalam universiti juga mengalami masalah yang sama. Hakikatnya hanya 7 % mahasiswa yang benar benar cakna tentang situasi politik Negara. Angka ini dinyatakan oleh Prof Abu Hassan Hasbullah dalam satu forum yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia. Oleh itu masih ada 93 peratus anak muda di pusat pengajian tinggi yang perlu dibangunkan kesedaran mereka mengenai tanggungjawab bernegara.

 

Gerakan Mahasiswa mungkin perlu lebih mirip kepada konsep Badan Bukan Kerajaan yang tidak terikat dengan mana-mana kepentingan politik. Sekiranya diteliti, antara faktor yang mendorong kesedaran rakyat di Negara-negara seperti yang dinyatakan di atas ialah gerakan Badan Bukan Kerajaan mereka yang aktif membangunkan kesedaran rakyat. Sebagai contohnya, Bangladesh memiliki sbuah NGO yang tercatat dalam senarai 10 NGO terbaik dunia iaitu BRAC (Bangladesh Rural Advancement Committee) yang memperjuangkan isu kemiskinan rakyat Bangladesh dan juga masyarakat antarabangsa.

 

Perkara inilah yang perlu dinilai oleh gerakan mahasiswa samada bersedia untuk menjadi suara parti politik, atau mahasiswa masih perlu terlebih dahulu memberi fokus sebagai kuasa ketiga dalam usaha  memberdaya rakyat Malaysia mengenai tanggungjawab bernegara.

 

Penulis ialah mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia dan kini Penyelaras Hak Untuk Dibicarakan, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

 

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Share on Myspace
template joomla