Masa tunggu ke IPT terlalu lama

Tidak lama lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diumumkan dan hampir 500 ribu calon sedang menunggu dengan penuh debaran kerana SPM dan STPM akan menentukan nasib mereka sama ada layak atau pun tidak untuk menyambungkan pengajian yang lebih tinggi nanti.

 

Difahamkan mulai tahun ini semua pelajar yang layak mendapat tempat ke IPTA dan IPTS hanya akan bermula sesi pengajian mereka pada bulan September nanti dan sebelum ini pelajar bermula sesinya pada bulan Jun atau pun Julai.

 

Kalau sekiranya keputusan SPM dan STPM diumumkan pada pertengahan bulan Mac dan begitu juga mereka yang telah pun tamat pengajian di kolej matrikulasi pada bulan Mac, mengapakah perlu menunggu selama 5 bulan untuk mendapatkan tempat di mana-mana pusat pengajian tinggi kerana ianya tidakkah akan merugikan masa dan membiarkan masa terluang begitu sahaja dan dalam masa 5 bulan penantian agak terlalu lama bagi belia-belia kita itu menunggu dan berbagai masalah sosial akan timbul apabila terdedah dengan dunia di luar sekolah nanti.

 

Diharap Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengkajikan semula hasrat untuk menganjakkan sesi sambung belajar ke pusat-pusat pengajian tinggi ini supaya tidak terlalu lama seperti yang dicadangkan untuk tahun ini dan sebaik-baiknya mengikut prosedur lama yang ditetapkan sebelum ini iaitu bermula sesi hanya pada bulan Jun atau Julai sahaja.

 

Ini memandangkan sistem komputer yang canggih yang boleh mengendalikan pengisian borang melalui internet sahaja itu sudah cukup dapat menjimatkan masa bagi pengambilan pelajar baru ke pusat-pusat pengajian tinggi di negara kita ini.

 

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,

Ampangan, Seremban.

 

template joomla