Apakah perasaan kita jika kita sakit, lalu pergi mendapatkan rawatan di hospital dan apabila keluar, kita telah disaman? Sesiapa sahaja yang mengalami kejadian ini sudah tentu berasa amat terkilan. Itulah yang berlaku kepada saya dan ramai lagi pesakit/pelawat Hospital Putrajaya.

Walaupun saya tidak pergi mendapatkan rawatan dan hanya melawat rakan saya yang sakit, namun saya tetap berasa amat terkilan apabila kereta saya disaman oleh pihak berkuasa. Saya lebih bersimpati dengan para pesakit yang disaman. Sudahlah sakit, disaman pula. Inilah yang berlaku kepada saya dan ramai lagi para pesakit/pelawat yang pergi ke Hospital Putrajaya. Kali pertama, kami disaman oleh pihak polis. Kali kedua pula disaman oleh pihak berkuasa tempatan Putrajaya.

Rakyat tentunya tidak menghalang, malah menyokong apabila pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang secara adil. Namun dalam hal ini, adalah jelas bahawa mereka tidak menggunakan timbang rasa dan budi bicara. Sebenarnya, kebanyakan orang yang pergi ke Hospital Putrajaya memang meletakkan kenderaan di tepi jalan. Tetapi ini tidak bermakna mereka tidak menghormati undang-undang. Sebenarnya, mereka terpaksa berbuat demikian kerana kekurangan tempat letak kereta di  Hospital Putrajaya. Malah jika kita pergi ke mana-mana hospital sekalipun, masalah kekurangan tempat letak kereta adalah antara masalah utama yang dihadapi.

Selain itu, dalam kes  Hospital Putrajaya, kenderaan yang diletakkan di tepi jalan tidak menghalang lalu lintas. Hal ini kerana jalan tersebut lebar dan besar. Lagipun, jalan-jalan tersebut bukan jalan yang sibuk. Cuba kita bandingkan antara jalan di sekitar Hospital Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia Putra. Jika kenderaan diletakkan di tepi jalan sekitar PWTC, memang mengganggu kelancaran lalu lintas. Sebaliknya, situasi ini tidak berlaku di Hospital Putrajaya. Meskipun kenderaan diletakkan di tepi jalan, namun kelancaran lalu lintas tidak terganggu. Tetapi persoalannya adalah mengapakah kenderaan para pesakit yang pergi ke Hospital Putrajaya disaman (tiada gangguan kelancaran lalu lintas), sedangkan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO di PWTC tidak disaman (memang ada gangguan kelancaran lalu lintas)? Jelas terdapat pilih bulu di sini.

Diharap pihak berkuasa lebih bertimbang rasa dan tidak mengamalkan dasar pilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang. Selain itu, sebelum sesebuah hospital dibuka, kementerian yang berkenaan sepatutnya memastikan terdapat tempat letak kereta yang secukupnya, misalnya dengan membina tempat letak kereta bertingkat. Pihak berkuasa tidak seharusnya menunggu masalah parkir timbul sebelum melakukan sesuatu.

KOLUM




eHarakah

Please update your Flash Player to view content.