hanya laman web ini
Mahkamah Pilihan Raya lawan Mahkamah Rakyat...mana yang menjadi pilihan. | | Tiada Malaysia spring, janya pesta himpunan rakyat, kata penganjur. | | Exco Selangor: PAS akur keputusan Tuanku Sultan Selangor. | |

Pengalaman pertamaku menyertai Bersih

Azman Aziz,

Ini kali pertama saya menghadiri BERSIH. Saya tidak menghadiri BERSIH 1 dan 2 kerana bertugas. Tetapi alhamdulillah, saya dapat menyertai BERSIH 3.0 (Insya-Allah saya akan bawa keluarga saya menyertai BERSIH 4.0 nanti).  Pada 28/4/12 jam 1.00 tengah hari saya dan keluarga berada di KLCC kerana ada urusan.

Hasrat hati nak menyertai kumpulan Hijau ke Dataran Merdeka, tetapi kumpulan ini telah bergerak awal. Selepas solat Zuhur saya menaiki Putra LRT ke Masjid Jamek. Tren terasa amat lambat namun sebaik sampai ke stesen Masjid Jamek, terdengar sorakan daripada lautan manusia yang menuntut keadilan dalam pilihan raya.

Meremang bulu roma dan hati saya terharu kerana semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan usia turut menyertai BERSIH 3.0.  Benar, memang fitrah manusia mahukan keadilan, kecuali Umno-BN yang terus memekakkan telinga terhadap suara rakyat yang mahukan keadilan, membutakan mata melihat kebangkitan rakyat dan membodohkan diri sendiri (lihat kenyataan bekas KPN Tun Hanif Omar dalam KOSMO 1 Mei 2012).  

Perhimpunan berjalan dengan aman sehinggalah polis melepaskan gas pemedih mata. Peserta BERSIH 3.0 terpaksa berundur sebentar. Saya dan sebahagian peserta beredar ke lorong tepi stesen Masjid Jamek dan ketika itu seorang pemuda Cina mengagihkan bungkusan garam. Saya yang membawa sebotol air mineral berkongsi dengan peserta lain membasuh muka.  

Yang mengharukan, penyewa hotel berhampiran mencurahkan air dari bilik mereka bagi membantu peserta BERSIH 3.0, malahan ada yang menggunakan hose reel memancutkan air. Hati saya terharu melihat ikhlasnya mereka membantu walaupun mereka hanya menginap di hotel berkenaan.

Polis terus melepaskan gas pemedih mata, kami bergerak ke Lebuh Ampang dan berehat di situ sehingga 4.30 petang. Saya kemudian singgah restoran berhampiran kerana mahu ke tandas. Di situ saya mendapati ramai peserta yang singgah untuk makan.

Saya terharu melihat suasana di satu meja kerana anak muda Cina dan Melayu berbincang dan bertukar gambar melalui handphone dan kemudian bersalam sebelum keluar restoran.  

Sambil menunggu giliran masuk tandas, saya bersembang dengan pak cik dari Bagan Serai, Perak dan seorang peserta BERSIH dari Johor. Niat kami sama iaitu menuntut keadilan pilihan raya.  

Pak cik dari Bagan Serai itu hadir ke BERSIH 3.0 demi masa depan generasi akan datang. Sementara peserta dari Johor menyatakan bahawa rakyat secara umumnya sudah mempunyai rumah, kereta, kerja, tetapi tidak mendapat keadilan daripada pemerintah.  

Saya kemudian merayau berseorangan ke depan SOGO.  Polis masih berkawal dan masih terdapat peserta BERSIH 3.0 di situ. Saya kemudian melalui Bangunan CIMB ke stesen LRT dan terserempak dengan Ustaz Badrul Amin dan isteri.  Kami bersalaman dan beliau bertanya saya tentang perhimpunan.  

“Tercapai juga niat saya untuk merasa gas pemedih mata,” jawab saya berseloroh. Ustaz Badrul Amin tersenyum dan mengatakan itulah “bunga-bunga syurga”. Mudah-mudahan pengalaman ini menjadi bukti bahawa saya insan yang lemah ini hanya mampu menyerahkan diri berjuang menentang pemerintah yang zalim terhadap rakyat. TAKBIR!!!!

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Share on Myspace
template joomla