Rakyat sokong turun harga kereta
| Ahmad Busu, Skudai, |
Pengumuman Pakatan Rakyat (PR) bahawa harga kereta akan diturunkan jika menang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti merupakan berita yang dinanti-nantikan oleh rakyat.
Selama ini rakyat memang terbeban dengan harga kereta yang terlalu tinggi jika dinisbahkan dengan pendapatan semasa. Bayangkan pada masa sekarang, rakyat yang ingin membeli kereta baru terpaksa menghabiskan 1/3 daripada pendapatan untuk membayar ansuran bulanan kereta selama tempoh 5-9 tahun.
Harga kereta yang paling kecil seperti Perodua Kancil pun berharga sekitar 24 ribu ke atas. Bagi rakyat yang berpendapatan rendah dan mempunyai ahli keluarga yang besar, sudah tentu tidak mempunyai banyak pilihan. Sepatutnya mereka sesuai membeli Proton Exora, tetapi harga kereta dan kos hidup yang tinggi sudah tentu menyukarkan mereka.
Tawaran PR ini sedikit sebanyak memberi harapan kepada rakyat untuk menikmati kenderaan yang bermutu dan sesuai pada harga yang munasabah. Rakyat telah muak dengan tindakan kerajaan hari ini yang menindas rakyat kerana mahu menyelamatkan 2-3 orang kroni.
Bukan itu sahaja, sejak kereta nasional diperkenalkan pada tahun 1985 (penubuhan proton pada tahun 1983) rakyat terpaksa membeli kereta nasional pada harga yang mahal dengan mutu yang rendah. Namun yang peliknya, kereta nasional yang dijual di luar negara harganya lebih murah dan lebih tinggi mutunya.
Sudah sampai masanya, keadaan itu diperbetulkan dan pada masa yang sama, dalam usaha PR menurunkan harga kenderan import ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Yang pertamanya, PR juga perlu memikirkan kedudukan kereta nasional agar terus berdaya saing dengan kereta import yang lain. Hal ini kerana, melalui projek kereta nasional ini, ribuan peluang pekerjaan telah wujud.
Yang keduanya, PR perlu mengambil kira pembeli yang telah membeli kenderaan sebelum dasar baru diperkenalkan. Mungkin mereka diberi rebet agar bebanan pijaman yang ada sekarang dapat dikurangkan sedikit.
Bagi rakyat, pemimpin yang baik ialah yang sentiasa berusaha agar rakyat hidup dalam keadaan yang selesa. Bukan pemimpin yang sentiasa berusaha mengayakan diri sendiri dan keluarga.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.


