(Penuh sesak Masjid Sultan Ahmad Shah di Bandar Pusat Jengka malam tadi mengikuti kuliah Ustaz Azhar)

 

JENGKA: Hujan lebat dan pertukaran lokasi pada saat-saat akhir tidak dapat menghalang semangat mencari ilmu warga Jengka untuk mengikuti kuliah Ustaz Azhar Idrus sehingga melimpah Masjid Sultan Ahmad Shah di Bandar Pusat Jengka semalam.

Hujan lebat yang enggan berhenti sejak 6 petang memaksa para penganjur kuliah Ustaz Azhar Idrus untuk menukar lokasi pada saat-saat akhir dari Padang Awam Taman Jengka Mahkota ke Masjid Sultan Ahmad Shah.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kanan) memberitahu Harakahdaily keputusan itu terpaksa diambil kerana keadaan hujan lebat menyebabkan lokasi padang itu terlalu becak.

“Yang mengikuti kuliah Ustaz Azhar terdiri daripada kanak-kanak sehinggalah orang-orang tua – derita mereka jika terpaksa duduk di padang yang becak dan terkena hujan sepanjang kuliah,” terang Tuan Ibrahim.

Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap para peniaga kecil yang sudah menyediakan gerai di Padang Awam Taman Jengka Mahkota.

“Semoga Allah murahkan lagi rezeki mereka,” kata Tuan Ibrahim, yang juga merupakan calon PAS di DUN Jengka.

Walaupun keadaan sedikit kelam-kabut akibat penukaran tempat, Masjid Sultan Ahmad Shah tetap dipenuhi warga yang ingin menuntut ilmu sehingga melimpah dan ramai yang terpaksa berdiri dalam hujan untuk mengikuti kuliah Ustaz Tuan dan juga Ustaz Azhar.

Dalam permulaan kuliahnya, Tuan Ibrahim memohon maaf di atas pihak penganjur atas penukaran lokasi di saat-saat akhir.

Beliau berkata usaha awal untuk menyewa Mini Stadium Jengka gagal. Stadium tersebut kini di bawah pengurusan Felda.

"Tak apa. Insha-Allah lepas ini (selepas PRU13), kita akan buat kuliah di Stadium Darul Makmur,” kata Tuan Ibrahim.

Antara isi menarik kuliah Tuan Ibrahim ialah beliau mengingatkan para hadirin bagaimana seseorang ulama boleh menjadi punah.

“Seorang ulama menjadi punah apabila dia mengkhianati ilmu yang ada padanya. Dalam konteks negara, rakyat akan rosak sekiranya pemimpinnya punah,” tegas beliau.

Dalam kuliahnya, Ustaz Azhar menasihatkan orang ramai untuk menghadiri kuliah di masjid – bermula selepas Maghrib sehingga selepas Isyak.

“Antara tengok berita dan dengar kuliah, pergi kuliah timba ilmu. Kuliah ini FOC (free of charge) tak perlu bayar. Cuma ada minta derma. Derma ini tak wajib. Yang sudi derma panjang umur. Yang tak sudi derma pendek umur. Tu saja,” kata beliau menyebabkan semua hadirin tertawa.

Share on Myspace