Pakatan Rakyat tubuh Majlis Penasihat Keselamatan

Muhammad Faizal | .

 

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan akan menubuhkan Majlis Penasihat Keselamatan bagi membincangkan soal-soal keselamatan yang berlaku di dalam negara ini.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas itu memberitahu penubuhan majlis penasihat merupakan satu langkah penting dalam menangani isu keselamatan negara.

"Pakatan telah memutuskan untuk menubuhkan Majlis Penasihat Keselamatan kerana isu keselamatan ini amat penting.

"Jeneral-jeneral kanan dan juga pegawai-pegawai kanan polis yang menyokong Pakatan Rakyat akan bersama dengan Majlis Penasihat Keselamatan dalam memberi nasihat kepada pimpinan pakatan rakyat terutama konflik yang timbul di Lahad Datu," kata beliau.

Menurut Anwar lagi, perkembangan terakhir di Lahad Datu menimbulkan persoalan kenapa ada kelemahan kawalan keselamatan di pengairan negara.

"Kenyataan telah kita dikeluarkan, kita mengulangi tentang langkah kawalan keselamatan yang diambil oleh pasukan keselamatan.

"Namum pemimpin Umno menggunakan isu ini untuk politik demostik yang membuat tuduhan kepada Pakatan Rakyat tanpa menjawab setiap persoalan yang ditimbul," sambung beliau lagi.

Anwar yang menegaskan sehingga sekarang Umno gagal menjelaskan tentang rundingan yang dilakukan oleh pimpinan Umno dengan Sultan Sulu sebelum ini.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula menyatakan sepatutnya apa yang berlaku di dalam negara ini sama ada soal keselamatan ataupun ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah bukannya menyalahkan pihak pembangkang.

"Kita tegaskan apa yang berlaku di negara ini sama ada soal keselamatan mahupun ekonomi adalah tanggungjawab pemerintah dan bukannya mengambil jalan mudah menyalahkan pembangkang.

"Segala kebocoran yang berlaku adalah kerana kealpaan mereka dalam mengendalikan urusan negara, kita bukan sahaja menghadapi masalah inflasi yang semakin meningkat tetapi juga soal keselamatan negara yang semakin serius," jelas beliau.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan juga Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali serta Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli.

Sementara itu bagi PKR pula hadir sama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar manakala Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke mewakili DAP.

Share on Myspace