KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu menggesa agar rakyat bertindak untuk memurnikan budaya politik di Malaysia menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

“Sehingga ini nampaknya pihak penguasa masih terus menyalahgunakan kuasa sewenangnya,” ujar Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, tempoh pemerintahan sepatutnya sudah berakhir namun Perdana Menteri terus bertindak seolah-olah menjadi PM yang masih boleh mengguna peruntukan kerajaan dan mengumumkan perbelanjaan untuk meraih undi.

Malah, katanya PM dan timbalannya terus mengguna kedudukan mereka untuk berkempen agenda politik kepada kakitangan kerajaan dan premis agensi awam seperti di sekolah.

“ Teras berpendirian adalah tidak wajar politik negara ini dibiar berjalan seperti ini kerana antara isu yang terpenting perlu dijamin oleh rakyat ialah agar integriti penguasa akan terus dipantau dan dikawal oleh rakyat,” katanya lagi.

Justeru, katanya rakyat harus menganjakkan politik negara kepada tahap yang lebih matang kerana membiarkan ahli politik mengguna kuasa sewenangnya akan mendedahkan rakyat menjadi mangsa kepada politik sogokan yang merugikan generasi masa depan.

Tambahnya, dengan tempoh kerajaaan yang sah akan berakhir sekitar sebulan lagi, seharusnya mandat rakyat kepada kerajaan tamat dan rakyat harus menuntut supaya pilihan raya diisytiharkan segera.

Lebih malang lagi, ujarnya politik kotor dan lucah, manipulasi dan menyalahguna media massa milik awam  serta politik samseng termasuk mengguna agensi keselamatan dan institusi awam untuk berkempen membuktikan demokrasi di negara ini tidak wujud malah sedang menuju kepada politik autokratik.

Beliau berkata, beberapa perkembangan mutakhir lebih mencemaskan apabila tindakan politik kotor seperti mengedar video fitnah dan manipulasi berita secara bersifat palsu yang berniat jahat untuk menjatuhkan  politik lawan masih berterusan.

Malangnya, tambah beliau golongan ulama dari institusi penguasa tidak nampak mahu menegur amalan politik kotor seperti ini.

Bagi Teras, katanya manifestasi dari semua tindakan yang sangat jijik ini berpunca dari pernyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang dalam ucapan penggulungannya dalam satu perhimpunan agung Umno  bahawa Umno akan mempertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir.

Sebab itu, kata Mohd Azmi tidak menghairankan apabila banyak tindakan ganas dan politik biadap untuk mengekang kemaraan parti pembangkang dibiarkan berleluasa, malah insiden mengganas terhadap majlis pembangkang juga tidak diambil tindakan sebaliknya pihak pembangkang pula yang sering menerima tindakan dari pihak polis.

“Kali ini rakyat harus tahu bahawa politik seperti yang diamalkan oleh pihak penguasa perlu dibanteras dan hanya satu cara sahaja dapat dilakukan iaitu melakukan perubahan dalam PRU13 yang akan datang,” ujarnya.

 

Menurutnya, jangka memerintah selama 55 tahun nampaknya tidak membawa negara menuju kepada kematangan dalam berpolitik, sebaliknya membawa rakyat kepada fikiran politik yang sangat dangkal.

Share on Myspace