KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tampil memberi penjelasan mengenai status keselamatan negara berhubung dengan insiden yang berlaku di Lahad Datu.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub agar Najib memanggil segera persidangan Parlimen bagi tujuan penjelasan terhadap insiden tersebut.

Mahfuz turut mempertikaikan kawalan pengairan negara yang begitu lemah sehingga membolehkan pemberontak memasuki negara dan seterusnya berada  Lahad Datu.

"Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku, kelemahan pengawalan keselamatan negara menyebabkan anggota polis kita turut terkorban.

"Bercakap tentang soal kawalan pengairan, kenapa radar kita tidak dapat mengesan kapal yang penuh dengan senjata sehinggakan mereka boleh terlepas begitu sahaja," ujarnya.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, rakyat sekarang menunggu penjelasan dari kerajaan mengenai tahap keselamatan negara ini kerana risau kejadian seumpama itu berulang lagi.

"Persidangan Parlimen segera perlu dilakukan bagi memastikan sebarang persoalan dapat kita ketengahkan, apatah lagi rakyat yang semakin meragui tentang soal kawalan keselamatan negara ini.

"Isu ini tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia turut melibatkan soal kedaulatan negara, bagaimana sebuah negara yang selamat boleh dicerobohi dengan begitu mudah," kata beliau sambil mempersoalkan apa jaminan yang boleh diberikan kerajaan agar insiden sedemikian tidak akan berulang lagi.

Share on Myspace