KUALA LUMPUR: PAS turut merakamkan takziah kepada keluarga Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando yang telah terkorban ketika mempertahankan negara berdepan penceroboh di Lahad Datu semalam.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, jasa kedua-dua mereka sangat besar kepada negara ini.

"Saya merakamkan takziah kepada keluarga anggota polis Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan antara pihak keselamatan Malaysia dan penceroboh di Lahad Datu semalam.

"Semoga jasa dan pengorbanan yang dicurahkan demi mempertahankan kedaulatan negara diberikan ganjaran yang baik di sisi Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan selain kedua-dua mereka, 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu turut maut dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan polis semalam.

Akibat insiden itu juga, tiga anggota polis dilaporkan cedera.

Mengulas lanjut Tuan Guru berkata, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi merungkai persoalan kenapa perairan negara begitu mudah ditembusi sehingga terjadinya apa yang berlaku di Laha Datu sekarang ini.

"Saya juga mengharapkan satu siasatan yang serius dilakukan ekoran insiden yang tidak diingini ini khususnya dalam isu kawalan sempadan darat dan perairan negara yang nampaknya agak longgar sehingga berjaya ditembusi begitu mudah," katanya.

 

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat yang terkorban di Lahad Datu, Sabah, Nor Aziah Nor, 28, pengsan selepas memaklumkan kepada keluarganya suami beliau terkorban.


(Isteri Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, Nor Aziah terpaksa dipapah keluarga selepas mendengar berita sedih itu. Gambar kecil anak-anak Allahyarham.)

 


Beliau terpaksa dipimpin oleh sanak saudara selepas mengetahui berita kematian suaminya, semalam.


Dewan Pemuda PAS pula telah menubuhkan tabung khas bagi membantu mangsa kejadian ini khasnya untuk membantu keluarga yang mereka tinggalkan.

Pengumuman ini dibuat oleh ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan semalam.

Share on Myspace