BESUT: Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menafikan laporan akbar Sinar Harian 20 Februali lalu yang memetik beliau sebagai berkata 'ramai calon PAS digugurkan' pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti .

Menurut Nik Zawawi, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada akhbar bahasa Melayu itu dan beranggapan kenyataan beliau telah disalah petik oleh akhbar itu.

“Saya menafikan ramai calon PAS digugurkan bertanding pada pilihan raya (PRU13) kali ini. Saya ulangi tidak timbul sama sekali ramai calon PAS digugurkan kerana mereka (calon) telah menepati syarat di peringkat kawasan lagi.

“Cuma laporan akhbar Sinar Harian itu…saya hendak menafikan sama sekali dan saya tidak pernah sebut istilah sebegitu (ramai calon PAS digugurkan)," katranya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Himpunan Semarak Hijau ke Putrajaya Muslimat PAS Terengganu dengan tema “Satu Misi, Satu Energi, Satu Hati” di Dewan Haji Salleh, Kampung Alor Lintah, Besut, hari ini.

Sinar Harian pada 20 Februari lalu meletakkan tajuk 'Ramai calon PAS Gugur' di muka hadapan akhbar itu.

Akhbar itu memetik Nik Zawawi sebagai berkata, Majlis Syura Ulama' PAS terpaksa menggugurkan ramai calon yang disenaraikan oleh pimpinan parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas beberapa sebab.

Antara sebab utama petik akhbar itu ialah mereka yang berkenaan didapati tidak menepati syarat ketat ditetapkan parti termasuk kemungkinan akan melompat parti setelah dipilih sebagai wakil rakyat.

Mengulas lanjut Nik Zawawi berkata tidak timbul sama sekali isu ramai calon PAS ‘digugurkan’ dalam pilihan raya kali ini.

Ini kerana, katanya senarai nama-nama calon berkenaan yang dihantar oleh kawasan telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Majlis Syura Ulama’.

“Senarai calon-calon yang dihantar oleh setiap kawasan masing-masing, Alhamdulillah, di peringkat kawasan telah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama’ PAS,” jelasnya.

Menurutnya, dalam soal pemilihan calon tidak sama antara PAS dengan Barisan Nasional kerana parti Umno tidak meletakkan syarat-syarat tersebut.

“Kita (PAS) tentukan syarat-syarat hendak jadi calon mengikut ciri-ciri kepimpinan Islam, istiqamah dalam perjuangan (Islam), bakal calon tidak melakukan dosa besar dan tidak meneruskan dosa-dosa kecil.

“Kita tidak sebagaimana Umno yang tidak ada syarat untuk dipilih jadi calon, tetapi PAS ada syarat-syaratnya. Sebab itu, calon Umno-BN tidak bersih dan calon PAS bersih sebab kita (PAS) letak syarat untuk jadi calon dan calon PAS menepati syarat Majlis Syura Ulama’,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu menjelaskan penapisan yang dilakukan oleh Majlis Syura Ulama’, tidak ada calon-calon PAS digugurkan kerana melanggar syarat tersebut.

“Setakat ini, boleh saya sebut calon-calon PRU13 telah hampir selesai 99 peratus dan masalah teknikal calon akan berlaku sehingga hari penamaan calon dan mungkin ada penukaran calon dan sebagainya. Tapi senarai yang dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama’ telah selesai 100 peratus,” ujarnya.

Katanya, dalam PAS ini telah jadi budaya dan ahli-ahli faham bahawa untuk menjadi calon mesti bersih serta memenuhi syarat-syarat Majlis Syura Ulama’ PAS.

Pada perhimpunan tersebut seramai hampir 1000 orang petugas dan jentera parti Dewan Muslimat PAS dari seluruh kawasan hadir bagi menjayakan program berkenaan.

Antara pimpinan muslimat yang hadir Ketua Muslimat PAS Pusat, Hajah Siti Zailah Mohd Yusof, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Muslimat Pas Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang Kelantan, Wan Ubaidah Omar dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Share on Myspace