Jasri kongsi pengalaman pandu treler jelajah PAS

Muhammad Faizal | .

PULAU PINANG: Jasri Abdul Wahab, 45, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya apabila dipilih untuk memandu rasmi traler Jelajah Negara Berkebajikan yang baru dilancarkan oleh Presiden PAS semalam..

Beliau yang berasal dari Gurun Kedah itu menyatakan, peluang yang diberikan ini adalah satu yang amat berharga bagi dirinya dalam usaha membantu PAS dalam pilihan raya umum ke-13 ini.

Jasri yang merupakan seorang pesara askar sebelum ini pernah menjadi pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Beliau juga pernah bekerja sebagai pemandu lori lebih 3 tahun.

"Peluang yang ditawarkan pada saya ini walaupun sebagai pemandu amat bermakna dan tidak akan saya lepaskan.

"Memandu traler jelajah PAS ini memberi peluang kepada saya untuk melihat sendiri secara dekat terhadap sokongan dan sambutan yang diberikan kepada jelajah PAS kali ini," jelas beliau yang tiba di Kuala Lumpur semalam.

Tambahnya lagi, sepanjang pemanduan di lebuhraya menghala ke utara, pemandu-pemandu yang sehala dengannya sentiasa memberikan sokongan dengan membunyikan hon.

Malah katanya lagi, ini sesuatu pengalaman yang luar biasa dialaminya berbanding sebelum ini ketika beliau hanya memandu lori syarikat majikannya.

"Hilang kesunyian sepanjang saya memandu di lebuhraya apabila kebanyakan pemandu membunyikan hon dan mengangkat tangan tanda sokongan.

"Malah perjalanan terasa dekat apabila situasi sebegini berlaku, ini merupakan pengalaman yang sukar untuk saya lupakan," tambah beliau lagi.

Beliau juga teruja dengan sambutan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak terutamanya ditempat-tempat persinggahan yang telah menyenangkan laluan perjalanan.

Dalam pada itu, beliau merasakan sambutan dan sokongan orang ramai terhadap kehadiran treler tersebut sebagai peluang cerah buat PAS berdepan pilihan raya nanti.

Jasri yang mempunyai enam orang cahaya mata itu berjanji akan memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan ikhlas.

"Saya akan tunaikan sepenuhnya amanah yang diberikan, saya akan pastikan segalanya berjalan dengan lancar dan tiba di destinasi mengikut masa yang ditetapkan.

"Ini merupakan sebahagian dari sumbangan saya untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada pilihanraya nanti, tak ada duit kita tolong cara lagu ni la," sambung beliau lagi.

Harapan beliau agar satu perubahan dilakukan oleh rakyat demi mewujudkan satu suasana baru yang lebih menjamin kemakmuran rakyat.

Share on Myspace