Siasat kes Sugumaran secara menyeluruh

| .

 

(Bilik mayat yang menempatkan mayat Sugumaran dikawal ketat)

 

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) membuat siasatan menyeluruh dibuat ke atas kematian C. Sugumaran.

Kes ini telah menimbulkan polemik yang menggemparkan masyarakat ekoran terdapatnya dakwaan beliau dipukul semasa ditahan oleh pihak polis, kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Terdapat dakwaan daripada saksi yang melihat kejadian tersebut yang mendakwa mangsa dibelasah hingga mati dalam keadaan tangannya bergari.

Malah ada dakwaan saksi melihat pihak polis memijak leher Sugumaran serta membiarkan beliau dipukul oleh orang ramai.

Sekiranya dakwaan tersebut benar, kata Riduan, DPPM mempersoalkan apakah Standard Of Procedure (SOP) yang digunakan oleh pihak polis semasa menahan mangsa.

"Meskipun mangsa dikatakan mengamuk dan merosakkan harta benda awam, apakah itu suatu lesen untuk pihak polis membelasah atau membiarkan mangsa dibelasah sehingga mati?" soalnya.

Kes ini menjadi suatu perbincangan dan perhatian di kalangan masyarakat serta menimbulkan keresahan rakyat iaitu adakah polis bertindak ganas ke atas mangsa serta adakah polis telah bertindak betul terhadap tahanan mereka.

Ia juga menjadi suatu ketakutan kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan semasa dalam tahanan polis kerana sudah berlaku beberapa kali tahanan mati ketika ditahan atau di dalam lokap polis.

Justeru, DPPM mendesak polis bersikap telus dengan membawa bukti yang kukuh punca kematian Sugumaran.

Jika benar beliau dibelasah oleh pihak polis atau pihak lain, kesemua mereka mesti didakwa atas kesalahan membunuh dan mereka mesti didakwa di mahkamah, katanya.

"DPPM mengingatkan PDRM supaya jangan melindungi mana-mana pihak termasuk pegawai mereka sekiranya mereka benar bersalah dalam kes ini kerana kesilapan tersebut akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi PDRM," tegas Riduan.

Share on Myspace