Konflik Umno Johor, rakyat perlu buka mata

Muhammad Faizal | .

KUALA LUMPUR: Rakyat Johor diseru menilai sendiri berhubung konflik dalaman yang melanda Umno negeri itu demi masa depan mereka.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pergeseran dalaman Umno di Johor itu diperingkat kronik termasuk hilang kepercayaan kepada menteri besar Datuk Abdul Ghani Othman itu sendiri.

Sebuah akhbar semalam melaporkan, sebahagian besar cawangan parti di Pasir Gudang menutup bilik gerakan kerana kecewa dengan tindakan Abdul Ghani yang masih belum memberi hak milik tanah kepada penduduk setinggan.

Laporan berkenaan memetik kenyataan pegerusi tetap Umno bahagian tersebut, Abu Bakar Alibi yang mendakwa lima bilik gerakan ditutup dan empat lagi dijangka mengambil tindakan sama menjelang pilihan raya.

"Kegagalan Abdul Ghani dalam mempertahankan kampung-kampung melayu dan juga tanah menyebabkan orang-orang Melayu di sana akan kehilangan tanah mereka.

"Kampung-kampung Melayu juga semakin terpinggir apabila kerajaan negeri gagal memberi jamin untuk mempertahankan hak mereka, apabila Umno lebih mementingkan pembangunan dari menjamin hak orang Melayu terutama dalam isu tanah," kata Salahudin.

Menurut beliau lagi, isu pengambilan tanah yang diperjuangkan PAS terutamanya di Pengerang membuktikan bahawa isu tanah adalah isu serius di negeri itu.

Ianya juga membuktikan kegagalan Umno BN negeri itu membela nasib rakyat termasuk ahli Umno sendiri berhubung isu itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan didakwa mengeluarkan amaran kepada pemimpin akar umbi di Pasir Gudang yang menutup bilik gerakan tersebut.

Ahmad berkata tindakan tegas akan diambil terhadap ahli Umno yang melakukan sabotaj ke atas parti dalam pilihan raya umum akan datang.

Share on Myspace