Pampasan peneroka: Mazlan akan saman minggu depan
| Hazayani Zakaria, | 21 Jan 2013 |

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menuduh beliau melarikan wang pampasan yang dimenangi peneroka Felda Kemahang 3 selepas menang saman ke atas Felda.
Mazlan berkata, beliau melalui peguamnya, Harris Abdullah akan memfailkan saman tersebut minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman itu akan difailkan ke atas Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Manap, Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Kelantan, Wan Zawawi Wan Zain, seorang peneroka dan beberapa blogger yang menyiarkan ucapan mereka mengenai Mazlan.
"Saya bukan berdendam tapi saya nak beri pengajaran kepada mereka supaya jangan buat fitnah.
"Sebelum ini saya ambil sikap berdiam diri tapi tuduhan mereka sangat melampau," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. (Gambar atas)
Menafikan tuduhan tersebut, Mazlan menjelaskan kes saman Felda Kemahang itu difailkan pada 2002 sedangkan Anak dilancarkan pada 2007.
"Saya tak kenal peneroka-peneroka ini, tak kenal pun peguam Wan Rohimin sebelum ini.
"Macammana nak kata saya larikan duit mereka," katanya.
Sebelum ini seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3 melalui peguam Tetuan Wan Rohimin & Asmadi telah menyaman Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd.
Pada 26 Ogos 2010, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah bersetuju dengan Mahkamah Tinggi Kota Bahru untuk memberi kemenangan kes saman tersebut dengan jumlah keseluruhan saman termasuk faedah sebanyak RM11,236,983.00.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.


