TEMERLOH: PAS Pahang akan menghantar nota bantahan kepada Ketua Polis Negara (KPN) berikutan konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda disekat masuk oleh pengacau-pengacau upahan Umno di Jengka 23 dan Jengka 21 Sabtu lalu.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata serentak dengan itu PAS juga akan mohon menemui Ketua Polis Pahang bagi menyatakan kekesalan di atas kegagalan anggota polis dalam peristiwa berkenaan.

Dalam sidang medianya selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di sini semalam, Tuan Ibrahim berkata, PAS Pahang juga merakamkan kekesalan dengan gangguan agen Umno itu dan kegagalan polis melaksanakan tugas penguatkuasaan.

“Pada hari tersebut jelas agen Umno telah melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan kerana menyekat hak dan kebebasan bersuara iaitu masuk ke Felda Jengka 23 dan berceramah di Jengka 11 yang telah dibenarkan Ketua Polis Daerah Maran.

“Pihak polis yang bertugas di situ pula gagal menguatkuasakan undang-undang iaitu seolah-olah membiarkan budaya samseng terus berlaku dan tugasan polis pula diambil oleh pihak lain.

“Walau bagaimanapun, pihak kita tidak berburuk sangka kerana kemungkinan anggota polis yang hadir itu tidak cukup tenaga sehingga tidak mampu menguatkuasakan undang-undang. Dan isu inilah yang akan kita bawa kepada KPN dan Ketua Polis Pahang,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar, Ketua Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hasan, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan Setiausaha DAP Choong Siew Onn.

Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Krau (Jengka 23 dan Jengka 11 berada dalam parlimen berkenaan), menganggap tragedi samseng dan ‘merampas tugas polis’ itu merupakan titik hitam dalam sejarah politik Pahang kerana pertama kali berlaku di situ.

Sabtu lalu, konvoi 50 buah kereta dan 50 buah motosikal Kembara Oren bertujuan menerangkan isu-isu Felda, dihalang masuk ke Felda Jengka 23 apabila penyokong-penyokong Umno yang turut mempergunakan wanita dan kanak-kanak, meletakkan tong-tong milik Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) di atas jalan masuk.

Tidak cukup dengan itu, kira-kira 100 orang penyokong Umno yang menghalang itu bertindak memaki hamun dan menghambur kata-kata lucah kepada rombongan Jelajah Oren yang jumlahnya dua kali ganda daripada mereka.

Suasana panas kemudiannya dapat ditenangkan dengan campur tangan Ketua Polis Maran dengan perundingan kedua-dua belah pihak.

Konvoi Jelajah Oren sekali lagi disekat daripada berceramah di Jengka 11 apabila kumpulan polis bantuan Felda dan kumpulan belia upahan Umno bertindak menghadang jalan dengan sekatan sehingga ceramah gagal diadakan di markas PAS walaupun polis telah mengeluarkan permit.

Akibat budaya samseng itu, telah berlaku pergaduhan kecil di situ.

 

Share on Myspace