KUALA LUMPUR: PAS yakin dengan perkembangan yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 (PAU 2012) minggu lepas, Pakatan Rakyat mempunyai peluang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

"Memang nampak tak bergaduh, tak berbangkit isu peranan Rosmah dan tak berbangkit isu pertembungan Najib dan Muhyiddin kerana ia sudah diarahkan agar tidak dibangkitkan.

"Ini dilakukan Umno melalui taklimat yang dibuat sebelum PAU 2012 ini," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya hari ini.

Pandangan Mustafa ini selaras dengan bancian yang dibuat oleh akhbar Sinar Harian mulai semalam.

 

Sinar bertanya kepada pelayar laman webnya, "Susulan Perhimpunan Agung Umno 2012, jika anda seorang pengundi, perikatan pilihan anda?"

Dari dua jawapan diberikan, 93 peratus (atau 9824) pesertanya memilih Pakatan Rakyat manakala hanya 7 peratus (atau 691) memilih BN dari 10515 peserta yang mengambil bahagian dalam poll itu.

 

Ini adalah keputusan yang dicatatkan pada jam 6.30 petang ini.

 

Menurut Mustafa, sebelum mengadakan PAU, mereka mengadakan taklimat terlebih dahulu dan untuk memastikan apa yang dibolehkan diucap dan yang tidak boleh diucap.

 

(Salah satu hasil bancian Sinar yang dibuat berdasarkan PAU 2012)

 

Malah katanya, soal yang berkaitan dengan presiden Umno dan timbalannya termasuk juga kritikan berkaitan FGVH, Scorpene dan NFC tidak boleh disentuh.

"Mereka diberi amaran, jangan sentuh kerana akan menyukarkan pimpinan untuk memberi penjelasan.

"Cuma mereka hanya menjadikan PAU sebagai medan menyerang Pakatan Rakyat termasuk individu dalam Pakatan Rakyat," katanya dalam pertemuan eksklusif dengan Harakahdaily dan Harakah di Pejabat Harakah, di sini hari ini.

Mustafa juga percaya, para perwakilan sudah 'dipandu' terlebih dahulu, sebab itulah tidak kedengaran ucapan mereka bercanggah antara satu sama lain dalam PAU.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak masalah sebenar yang melingkari Umno akan berlaku semula apabila waktu pemilihan calon yang muktamad untuk bertanding dalam PRU13 nanti.

"Ini pasti berlaku, kerana ia sudah menjadi 'track record' Umno setiap kali menjelang pilihan raya," katanya.

Mengulas lanjut pandangannya terhadap PAU yang berakhir Sabtu lepas, Mustafa berkata, semangat yang dilaungkan oleh Umno di akhir ucapan penangguhan presidennya itu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa Umno akan terus mengecapi kemenangan dalam pilihan raya umum nanti.

Tambahnya, semangat yang hanya berlegar di kalangan pimpinan Umno sahaja tidak memberi kesan kepada pilihan raya kerana kemenangan sesebuah parti itu terletak pada rakyat.

"Kesan itu sampai ke PRU tidak mungkin sebab akan tentukan siapa menang atau kalau adalah rakyat. Pekerja Umno naik semangat sahaja, yang tentukan adalah rakyat.

"Mereka kena sedar 'mood'rakyat untuk ke arah perubahan masih kekal. Naik semangat hanya fenomena sementara," katanya.


Share on Myspace