KUALA LUMPUR: Sebaik mana pun belanjawan dibentangkan, ia tidak berguna kepada rakyat kalau perlaksanaan penuh penyelewengan dan rugi RM28 bilion setahun, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Saya tidak boleh kata belanjawan yang dibentangkan oleh (Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) adalah belanjawan yang baik dan bertanggungjawab kepada negara dan generasi akan datang sebab (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri kaitkan Najib dengan perbuatan beli undi.

"Tetapi, kalau Najib mempunyai kebolehan untuk membentangkan belanjawan yang baik sekalipun, ia tidak berguna kepada rakyat apabila Ketua Audit Negara sendiri dedahkan negara mengalami kerugian sehingga RM28 bilion setahun yang diakibatkan oleh kelemahan pengurusan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," katanya.

Mohamad bersetuju dengan pandangan ramai bahawa belanjawan yang dibentangkan oleh Najib hari ini adalah "belanjawan beli undi".

Dr Mahathir sebelum ini mengakui bahawa tindakan pentadbiran Najib memberi wang tunai kepada rakyat menghampiri kepada pembelian undi.

Bagi Mohamad, pembelian undi adalah rasuah terang-terangan tetapi lebih buruk lagi penyelewengan dalam perlaksanaan apa yang dibentangtkan dalam belanjawan.

"Dalam belanjawan hanya nyatakan hendak beli peralatan tentera. Itu baik.

"Tetapi dalam perlaksanaannya, gasak duit rasuah dalam pembelian kapal selam malah sehingga berbunuh-bunuh," katanya.

Ayat-ayat hendak minta duit dalam belanjawan, katanya, boleh dikatakan hampir semuanya manis-manis belaka.

"Tetapi dalam perlaksanaan, beli pemutar skru lima kali daripada ganda harga biasa," katanya sambil menyatakan contoh itu hanya contoh terlalu kecil dari pelbagai perbuatan khianat kepada negara yang menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM28 bilion seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara.

Mohamad juga menggelar belanjawan Najib sebagai belanjawan sembunyi fakta berikutan keengganan kerajaan membentang laporan Ketua Audit Negara bersama belanjawan.

Pada kebiasaannya, laporan audit tahunan itu dibentangkan bersama dengan belanjawan.

Tetapi, dalam pemerintahan Najib, iaitu bermula tahun lalu, laporan audit dibentangkan selepas belanjawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan, belanjawan yang dibentangkan oleh Najib dijangka akan menggula-gulakan pengundi kerana kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang lebih diutamakan dari menangani hutang negara yang semakin meningkat.

Share on Myspace