Muslimat pertahan dasar Negara Berkebajikan

| .

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
BERHUBUNG PENDIRIAN DATUK DR MOHD. HASSAN ALI MEMPERTIKAIKAN
PERJUANGAN PAS DAN MISI NEGARA BERKEBAJIKAN PAS

Sepertimana pendirian Dewan Muslimat ketika membahas Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS pada bulan Jun 2011 yang lepas yang bertemakan ”Membangun Negara Berkebajikan”, Dewan Muslimat untuk sekian kalinya konsistan mengucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada  Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Hj. Awang, Presiden PAS kerana telah mengangkat suatu tema yang kami sifatkan sebagai telah pun memenuhi ciri-ciri kesyumulan Islam hatta upaya menggambarkan betapa Islam itu Rahmat kepada sekalian alam.

Ucapan terima kasih, tahniah dan syabas ini juga kami panjangkan kepada seluruh Kepimpinan PAS Pusat dan para Perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang telah sebulat suara menerima Ucapan Dasar Presiden PAS ketika itu iaitu ”Membangun Negara Berkebajikan”.

Ini adalah suatu keputusan paling sah, legitimate dan digarap melalui semangat syura kaum Muslimin (orang-orang Islam) yang menjadi anggota Gerakan Islam, PAS.

Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat menyelar tindakan Datuk Dr Mohd Hassan Ali, mantan Naib Presiden PAS yang kini juga merupakan AJK PAS Pusat atas tindakan mempersoalkan ”Negara Berkebajikan” PAS seterusnya beliau juga menuduh bahawa PAS telah terkeluar daripada landasan perjuangannya.

Pendirian sebegini sesungguhnya adalah pendirian Umno yang senantiasa mahu memburukkan dan melemahkan PAS khususnya di mata orang-orang Melayu.

Persoalan kami, apakah nawaitu Dato’ Dr Hassan Ali ketika bercakap mengikut rentak musuh-musuh politik PAS? Begitu juga bila beliau ”memainkan” isu 3R – Religion, Race and Royal (Agama, Bangsa Dan Raja) yang umum juga tahu ini adalah strategi dan senjata UMNO untuk terus mendapatkan ”sokongan hayat” daripada para simpatisan dan chauvanis Melayu?!

Dewan Muslimat berpendirian ”Mempertikaikan Negara Berkebajikan bermaksud juga mempertikaikan dan tidak menghormati Presiden dan Perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang sebulat suara menerima Ucapan Dasar Presiden.”

Muslimat PAS menyifatkan tindakan terbaru Datuk Hassan Ali melalui pendirian kenyataan medianya kelmarin (20 Disember 2011), ”completely” mempertikaikan PAS, Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung dan Perwakilan Muktamar Tahunan PAS 2011.

Satu Malaysia telah menyaksikan tindakan ini kerana telahpun disiarkan oleh TV3 melalui slot Buletin Utama.

Justeru, Dewan Muslimat menyarankan agar Tindakan Tatatertib yang tegas mesti diambil oleh PAS ke atas beliau agar tindakan seumpama ini tidak menjadi budaya dan ikutan.

PAS wajar memperkasakan keperluan Disiplin di dalam parti kerana PAS bukan sahaja dilihat sebagai parti politik biasa sifatnya tetapi juga sebagai sebuah Gerakan Islam yang diterima di peringkat dunia; hatta dihormati kawan dan lawan. Ini juga yang kami fahami sejak muda remaja dalam asuhan dan tarbiyyah PAS.

Ini kekuatan yang telah menghimpunkan generasi muda yang cintakan Islam untuk hadir berjuang dan memperjuangkan Islam bersama PAS.

Sehubungan dengan itu juga, Dewan Muslimat menyeru kepada semua anggota Gerakan Islam – PAS di semua peringkat baik ”Qiadah” (Pimpinan) mahupun ”Jundiyyah” (Pengikut/Pelaksana) agar memahami dan menjiwai peruntukan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), Fasal 82 (1) (g).  

Dewan Muslimat juga menyelar percubaan dangkal dan nakal pihak-pihak tertentu yang berterusan memfitnah PAS dan kepimpinan PAS bahawa kononnya telah menjadi kuda tunggangan DAP dan seumpamanya.

Sebenarnya, jika diteliti ini lah nada dan ungkapan versi UMNO kini. Malangnya kedapatan juga ”dilagukan” oleh segelintir pimpinan dan ahli PAS yang kami sifatkan berada dalam dua situasi : 1. Bijak tapi bermasalah, 2. Dungu dan gelap hati.

PAS adalah parti paling ”senior” dalam lanskap politik Malaysia kini. Keanggotaan PAS pula adalah daripada pelbagai peringkat latar belakang pendidikan, sosial dan usia.

Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi tetapi Islam yang mendasari perjuangan PAS dan kekuatan ”infrastruktur organisasi” di dalam PAS itu insyaAllah semakin teguh dan utuh.

Gagal memahami sejarah dan ”nilai-nilai” perjuangan PAS akan menatijahkan tindakan dan suara yang sumbang sekalipun individu itu galak melaungkan mereka mahu kembalikan PAS ke landasan asal kerana kononnya telah tersasar!

Perangai seumpama ini telah kita lihat berulang kali dalam sejarah perjuangan  PAS tetapi insyaAllah PAS semakin kuat kerana yang memelihara Gerakan Islam PAS ini sesungguhnya adalah Allah Azza Wajalla.

Hakikat yang mesti kita semua sedari ialah Allah sedang merancang suatu yang lebih baik untuk PAS agar upaya merealisasikan Islam Rahmat Kepada Sekalian Alam. Dewan Muslimat berharap Pimpinan tertinggi akan mengambil langkah wajar seperti yang dicadangkan.

Manakala Muslimat PAS menyeru semua anggota Gerakan Islam PAS agar Fokus menghadapi PRU13, Perkemaskan Gerakan Dan  lets MOVE FORWARD TO PUTRAJAYA. InsyaAllah, tanda-tanda Kemenangan semakin terserlah.

Buat anak-anak muda yang kami kasihi, contohi dan susuri strategi kemenangan Sultan Muhammad Al Fateh ketika menawan Kota Constantinople, bukannya keliru dan dikelirukan oleh pemikiran dan pendirian Datuk Dr Mohd. Hassan Ali !

Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
t.t
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan