HARIAN tabloid Melayu dalam pengamatannya tentang gejala memarakkan kebencian di kalangan parti-parti politik menyarankan supaya pemimpin setiap parti mendisiplinkan penyokongnya.

 

Pandangan dua orang bekas Ketua Polis Negara, para cendekiawan dan penganalisis politik telah ditinjau, kesemuanya sekata bahawa gejala keganasan dan membenci satu puak dengan yang lain menjadi-jadi sekarang hingga polis sendiri gerun melihat perkembangan yang mulai payah dikawal.

 

Bekas KPN yang diketahui ganas dan khidmatnya telah ditamatkan kerana tindakan ganasnya mengaku apa  yang dikatakan gejala politik ganas sekarang menyebabkan ‘polis tersepit’ untuk bertindak. Buat  salah, tak buat lagi salah.

 

Antara gejala keganasan yang harian itu bangkitkan ialah melempar cat pada bas yang membawa orang politik, mengoyak dan memusnahkan poster parti lawan, membali batu  dalam majlis ceramah, membuat bising pada majlis ceramah yang tujuannya adalah mengganggu dan macam-macam lagi.

 

Semua itu adalah mengundang ancaman keselamatan. Maka yang dapat disarankan bagi membendung gejala itu ialah pemimpin politik setiap parti mendisiplinkan penyokong masing-masing supaya menjauhkan semua gangguan itu.

 

Tidak susah bagi pemimpin mendisiplinkan penyokongnya  dan memang parti-parti yang bertanggungjawab khususnya parti pembangkang memang menjaga tata kegiatannya supaya parti dan pemimpinnya difitnah dan tidak jadi agen kekecauan.

Tetapi adakah semua parti terutama parti yang berkuasa merasa perlu ia sendiri didisiplinkan?

 

Semua contoh yang dibangkitkan oleh harian tabloid itu adalah digejalakan oleh penyokong kerajaan sendiri. Bas yang disimbah cat yang digunakan oleh orang politik dan membawa pemimpin politik adalah dipunya atau disewa oleh PKR.  Belum pernah ada kempen dengan bas sebegitu sebelumnya. Yang menyimbah catnya siapa? Adalah penyokong parti yang memerintah.

 

Baling telur busuk dalam majlis ceramah pernah berlaku dulu. Selepas 13 Mei, 1969 ia tidak didengar lagi. Hanya menjelang PRU13 kempen Anwar dihalang termasuk kejadian membaling batu.  Angkara siapa? Apa kekecohan berlaku dalam majlis yang Anwar hadir, tentu yang mengacaunya penyokong kerajaan.

 

Dulu bolehlah yang menimbulkan kelam kambut itu disalahkan komunis. Apa  saja masalah semua gara-gara komunis. Sekarang komunis sudah lenyap. Maka yang menentang Anwar dan pembangkang ialah penyokong UMNO.

 

Semua yang disebut oleh tabloid itu adalah kegiatan yang dilakukan oleh golongan  anti Pakatan Rakyat khususnya yang melibatkan Anwar. Ertinya yang perlu didisiplinkan ialah penyokong parti kerajaan  dan parti-parti BN itu sendiri. Pemimpin politik pembangkang tidak perlu disuruh mendisiplinkan pengikutnya kerana mereka tidak buat apa yang berlaku itu.

 

Kiranya ada angkara penyokong pembangkang, ia adalah kejadian yang terpencil. Tetapi yang menjolok mata mengganggu kempen politik sekarang rata-rata angkara UMNO dan penyokongnya.

 

Terbaru kejadian di Kemaman. Anwar menjelajar dengan basnya ke situ. Berbelas NGO membantah, membuat laporan polis dan memasang poster mengecam kedatangan Anwar. Apa pelik sangat?

 

Siapa dalam NGO itu? Mestilah tentera upahan UMNO.

 

Bekas KPN yang ikut mengeluh tentang  perkembangan itu adalah orang yang  dipelihara kerajaan UMNO dan mereka buat apa yang kerajaan arah semasa bertugas dulu. Sekarang mereka juga bersungut. Perkembangan pelik itu sudah menjadi polis tersepit.  Hendak salahkan siapa?

 

Segala-galannya adalah gara-gara  UMNO  sendiri tidak berdisiplin. Sekarang UMNO sudah terdesak. Ia tidak dapat kawal penyokongnya. Yang mengganas itu adalah penyokong UMNO yang tidak lalu menghadapi perkembangan secara rasional dan beradab. Dengan harapan cara tidak beradab itu tuannya dapat dikekalkan.