Dunia kini hangat membicarakan tentang isu-isu yang berkaitan keamanan, keagamaan, politik dan pembangunan negara termasuklah di negara Malaysia sendiri yang banyak mempersoalkan dan mempermudahkan serta mempermainkan isu-isu berkaitan agama islam.

Gambar hiasan: Pilihan raya merupakan salah satu kaedah untuk rakyat memilih pemimpin yang adil

Hal ini dapat dilihat dalam situasi sekarang apabila sesuatu amanat yang dikemukakan oleh alim ulama dan pemimpin Islam telah dijadikan isu untuk kepentingan poilitik mereka yang mana secara tidak langsung telah memutar belitkan fikiran masyarakat kini. Tetapi ia sebenarnya tidak boleh dikaitkan dengan hal-hal politik kerana amanah adalah sebahagian daripada suruhan islam dalam melaksanakan pemerintahan negara sekaligus dapat merealisasikan hak-hak masyarakat dengan adil dan amanah. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-nisa’ ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan (menyerahkan) segala jenis amanah kepada ahlinya yang berhak menerima dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh kamu) menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu member pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat ”.

Berkata Ibn Abbas,“Ayat ini umum, untuk orang yang memerintah. Memang ayat ini wajib dipegang oleh penguasa, memberi amanah hendaklah kepada ahlinya. Orang yang akan diberi tanggungjawab dalam sesuatu tugas, hendaklah yang sanggup dan boleh dipercayai ia beramanah memegang tugasnya itu (kerana mengikut perintah Allah). Rasulullah SAW bersabda, “Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah; dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji.” (Ahmad dan Ibnu Hibban).


Amanah adalah kata yang sering dikaitkan dengan kekuasaan dan materi. Namun sesungguhnya kata amanah tidak hanya terkait dengan urusan-urusan seperti itu sahaja. Secara syar’ie, amanah bermakna menunaikan apa-apa yang dititipkan atau dipercayakan. Dalam konteks ayat yang dikemukakan di atas, adalah dimaksudkan kepada individu yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah organisasi. Amanah ini hendaklah diserah kepada seseorang yang berhak dan berkelayakan.

Maju mundur sesebuah organisasi bermula dengan mutu kepimpinan yang dilantik. Kegagalan dalam proses perlantikan kepada yang layak akan memberi kesan yang malap kepada organisasi. Justeru itu terdapat beberapa kaedah dari sudut sistem untuk memilih seseorang untuk menerajui sesebuah organisasi. Di antaranya ialah melalui jawatankuasa hal pemilih. Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh ahli-ahli yang berakhlak dan berkelayakan. Jika tidak ia nampak cantik dari segi proses tetapi gagal memenuhi semangat dan tujuan jawatankuasa diwujudkan.

Sifat amanah dalam melaksanakan urusan pemerintahan juga sebagai salah satu tuntutan yang perlu diberi perhatian. Tugas memerintah ini tidak akan diberikan kepada seseorang itu melainkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya. Pemimpin yang dipilih seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah pemerintahan itu sebagai satu amanah untuk diterajuinya supaya mencapai ke tahap yang paling cemerlang.

Justeru itu pemimpin harus memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan proses kepimpinannya. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin terhadap amanah tersebut adalah asas penting. Pemimpin yang jujur akan mengorbankan tenaganya untuk memperbaiki prestasi kepimpinannya secara berterusan. Kegagalan sesebuah pemerintahan berprestasi dengan cemerlang, kebanyakan disebabkan oleh pemimpin yang tidak jujur, yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyatnya. Sikap negatif yang demikian banyak menimbulkan gejala kepada prestasi kepimpinan. Masyarakat tidak boleh berkompromi pemimpin yang bermasalah. Bahkan usaha mempertahankan pemimpin yang tidak beramanah adalah kesilapan yang besar menurut Islam.

Berdasarkan ayat tersebut juga, telah dijelaskan bahawa Allah telah memerintahkan kamu yang membawa maksud bahawa mengatur pemerintahan yang baik dan memilih orang yang cekap dalam kepimpinan adalah satu kewajiban yang mana telah ditetapkan dalam hukum Usul Fiqh, barang siapa yang mengamalkannya akan mendapat pahala manakala barang siapa yang meremeh-temehkannya akan mendapat dosa. Di sini dapat difahamkan bahawa seseorang pemimpin yang memegang urusan kenegaraan adalah pemegang amanat Allah kerana urusan Negara tidak boleh dipisahkan dari agama. Dalam ayat ini juga telah memerintahkan supaya kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya. Perkataan ‘kamu’ di sini memberi makna masyarakat ataupun umat, maka umat itulah yang memilih pimpinan.

Pada zaman Rasul beliau sendiri yang memegang pimpinan itu. Baginda dilantik oleh Allah sebagai Rasul-Nya dan baginda juga diakui umat sebagai pemimpinnya. Dengan ucapan syahadat: “Tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan  Muhammad Rasulullah,” bererti orang menyerahkan pimpinan kepada Baginda dalam urusan agama dan urusan kehidupan dunia atau negara. Dalam pemerintahan baginda, baginda melantik seseorang yang dipercayai amanah mengikut ijtihadnya.

Sebagaimana Rasulullah SAW telah menyerahkan amanah kepada Uthman bin Talhah iaitu memegang kunci kaabah dan baginda terus membaca ayat tersebut.  Setelah baginda wafat, sebelum jenazahnya dikebumikan lagi, sahabat-sahabatnya ketika itu bermesyuarat untuk memilih pengganti baginda sebagai khalifah dan akhirnya Abu Bakar As-Siddiq dipilih menjadi khalifah. Ketika itu, umatlah yang menyerahkan amanat kepada khalifah dan ahlinya. Hal ini membuktikan bahawa umat (masyarakat) itu berdaulat. Setelah Abu Bakar As-Siddiq diberi kuasa memerintah, menjadi imam bagi kaum muslim, beliau jugalah yang menunaikan amanat kepada ahlinya masing-masing sama ada, dalam bidang pemerintahan, bidang peperangan, dan juga bidang ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan bidang-bidang lain mengikut acuan syariat Allah.

Rasullah SAW pernah berpesan kepada Abu Dzarr al-Ghiffari supaya jangan sesekali inginkan kekuasaan dalam pemerintahan walaupun Abu Dzarr al-Ghiffari seorang yang baik, terkenal dengan sifat kejujurannya, dan hidup dalam keadaan bersederhana. Sebab itulah ada beberapa hadis Nabi mengingatkan kita supaya tidak memberi kekuasaan dalam pemerintahan kepada orang yang meminta untuk berkuasa. Maka orang yang meminta untuk berkuasa dalam pemerintahan adalah dianggap sebagai pengkhianat. Dengan dasar tersebut, menjadi tanggungjawab setiap individu muslim untuk melantik pemimpin yang dipercayai amanah yang sesuai dengan kemampuan dan keupayaan mereka untuk melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan. Maka amanlah agama , bangsa dan negara jika mereka yang memegang amanat itu dengan betul dan saksama.

Tetapi sebaliknya jika mereka menerima amanat untuk kepentingan dirinya adalah satu penipuan dan ia adalah salah satu amalan orang munafik. Hal ini kerana perkataan amanah berkait rapat dengan Iman yang mana Iman memberi makna kepercayaan manakala amanah beerti cara untuk melaksanakan Iman tersebut yang menunjukkan amanah ialah amanah dari Allah kepada insan supaya menuruti kebenaran yang dibawa oleh Rasul-rasul-Nya. Oleh hal yang demikian, tugas menunaikan amanah itu adalah wajib, lebih-lebih lagi ketika amanah itu dituntut oleh tuannya. Maka barangsiapa yang tidak menyempurnakan amanah di dunia, nescaya akan dituntut amanah itu di akhirat kelak.

Berdasarkan potongan ayat yang bermaksud, “Dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil” memberi makna bahawa menjadi satu kewajiban kepada suatu pemerintah untuk menegakkan  keadilan dalam pemerintahannya iaitu hukum yang adil dan bukan yang zalim serta menegakkan sumber hukum yang asli iaitu hukum Allah. Seperti mana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengatakan bahawa jika anaknya, Fatimah binti Muhammad yang mencuri, baginda sendiri yang akan memotong tangan anaknya itu. Allah SWT telah memerintahkan manusia supaya berlaku adil dalam semua keadaan, sama ada kepada orang yang dikasihi mahupun yang dibenci. Pemerintah diingatkan supaya menjalankan dasar perlaksanaan keadilan politik yang mutlak, sekalipun terhadap yang bukan Islam.

Namun demikian, keadaan ini amat berbeza dengan keadilan politik yang dipraktikkan masa sekarang termasuklah di Malaysia. Dunia kini telah menyaksikan ketidakadilan politik merata-rata. Fahaman politik perkauman, sentimen agama yang melulu dan politik kepartian telah menyebabkan manusia tidak lagi berlaku adil. Mereka yang berkedudukan tinggi, berkuasa, dan kuat mendapat jaminan keadilan. Sementara mereka yang lemah terus menjadi mangsa. Golongan yang menyokong pihak yang berkepentingan akan diberi perlindungan dan keistimewaan. Perkara inilah yang akan menyebabkan juga timbulnya hukum-hakam manusia yang tidak adil dan secara tidak langsung mempersenda-senda dan menolak hukum yang telah disyariatkan dalam Islam iaitu hukum syariah.

Dalam hal ini, umat Islam yang tidak sanggup mempertahankan kesucian hukum Allah atau merasa keberatan untuk menganggapkan hukum itu sebagai hukum-hukum Allah yang wajib dipatuhi atau bertindak liar dengan mempertikaikan hukum tersebut atau mempersenda-sendakannya atau mensifatkannya sebagai undang-undang tidak adil, kejam dan tidak berperikemanusiaan, maka bermakna mereka tidak sanggup melaksanakan hukum Allah dan secara terbuka menentang al-Quran dan sunnah Rasulullah secara langsung tergolong dalam kumpulan manusia yang menentang Allah dan Rasul-Nya.

Kewajipan mempertahankan hukum Allah bukan sahaja menjadi kewajipan cerdik pandai Islam atau alim ulama seperti yang dianggapkan selama ini, tapi ia menjadi kewajipan semua pengamal undang-undang yang beragama Islam, yang terdiri daripada hakim-hakim dan peguam-peguam yang terlibat dalam pelaksanaan dan pengendalian undang-undang negara. Sikap menerima dan berpuas hati dengan undang-undang ciptaan manusia yang diambil dari Barat adalah bertentangan dengan akidah Islamiah yang mereka anuti.

Gambaran asas tentang hukum Allah yang dipertikai itu amatlah perlu khususnya kepada pucuk pimpinan negara Malaysia supaya dapat difahami dengan penjelasan yang betul, mudah dan terlepas dari sentimen politik dan semangat perkauman yang buta, agar isu yang besar ini difikir dan diteliti dengan penuh tanggungjawab oleh setiap pihak yang berminat mencampuri dalam isu ini terutama umat Islam yang menerima Allah sebagai Tuhan mereka dan menerima Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka yang terulung di sepanjang zaman.

Kesimpulannya, masyarakat atau rakyat yang beriman hendaklah memilih pemimpin dari kalangan orang-orang yang adil dan amanah. Telah ditegaskan bahawa, pilihlah pemimpin yang beriman dan bertakwa yang akan membuktikan bahawa akidah yang suci (bertakwa) mampu membina sifat amanah yang mulia. Setelah syarak menggariskan ketetapan terhadap kewajipan menunaikan amanah disusuli pula dengan tuntutan berikutnya iaitu melaksanakan hukuman yang adil terhadap sesama manusia. Sebagaimana yang kita maklum, bersikap amanah itu merupakan asas utama kepada hukum Islam manakala keadilan itu merupakan asasnya yang kedua. Justeru kedua-kedua ini juga menjadi kesepakatan bagi sekalian umat sebagai natijah kepada sesuatu nilai hukum yang berintegriti.

Ketahuilah jua bahawa keadilan itu merupakan asas kepada sesebuah pemerintahan. Pemerintahan yang adil menjadi faktor penyumbang kepada ketamadunan, kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara. Setiap manusia berbilang agama dan bangsa mengakui bahawa keadilan itu satu elemen yang wajib diterapkan terhadap sesebuah pemerintahan dan pentadbiran. Produktiviti pemerintahan yang lahir daripada elemen tersebut menjadikan masyarakat di semua saluran mendapat manfaat menerusi peruntukan yang selayaknya tanpa wujud unsur pertikaian dan penindasan. Golongan yang lemah layak menerima bahagiannya tanpa diskriminasi dan birokrasi daripada pemerintah di samping tiada ruang bagi golongan yang berkeupayaan untuk menindas golongan yang lemah. Apabila wujudnya situasi seperti ini di dalam sesebuah masyarakat hasil keadilan yang dipersembahkan oleh pemerintah maka tiada sebab keamanan dan kestabilan negara tidak boleh dikekalkan.

*Abdul Hafiz bin Mohamed, berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Kini menuntut di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

*Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

KOLUM




eHarakah

Please update your Flash Player to view content.