1. Hari demi hari malah detik demi detik sangat berharga dan bernilai buat hidup dan perjuangan suci yang didokong ini. Sementelah Allah swt bersumpah demi masa bahawa manusia umumnya terperangkap dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, berpesan dengan kebenaran dan juga berpesan dengan kesabaran.

2. Tahun 2012 telah melabuhkan tirainya dengan 1001 kenangan buat diriku, pula membungakan 1001 keinsafan terhadap kelemahan dan kekurangan dalam menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia dan juga amanah sebagai khalifah Allah di bumi bertuah ini.

3. Segalanya menjadi pelajaran yang sangat berharga dan sukar diperolehi. Saya mengharapkan tahun 2013 ini akan menjadi lebih baik berbanding 2012 yang telah berlalu dengan pahit getir dan suka duka perjuangan  bersama rakan - rakan saff kepimpinan dan seluruh warga DPPM [seluruh saff kepimpinan dan anggota pemuda PAS disemua peringkat].

4. Saya mengambil kesempatan sedetik menyambut tahun baru untuk saya dedikasikan ucapan setinggi - tinggi penghargaan buat seluruh saff kepimpinan dan warga DPPM yang begitu cekal meredah tribulasi demi menyahut seruan perjuangan. Sabar menyerap tekanan saban masa dan matang membuat perkiraan tatkala berdepan fitnah. Tanpa saya nafi masih terdapat kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki, namun mereka telah melakukan yang terbaik. Saya bangga memiliki rakan dan sahabat seperjuangan seperti mereka malah mereka jualah sumber inspirasi saya untuk terus sabar dan tabah mengharungi leliku dan selekoh tajam sepanjang saya diamanah memimpin DPPM.

5. Berbekal pengalaman bermutu tinggi  yang dipungut dan dikutip sepanjang 360 hari yang lalu, saya berharap DPPM akan bertambah baik. Semangat juang dan kesungguhan jitu dari seluruh saff kepimpinan dan warga DPPM akan membentuk team pejuang yang kental dan mantap sekaligus membantu parti memenangi PRU 13 kelak.

a] Peliharalah hubungan dengan Allah swt dan jangan sekali - kali biarkan ia retak dan putus justeru kemenangan yang diimpi adalah ketentuan muktamad dari Allah swt.

b] Tingkatkan kualiti diri dengan menambah ilmu pengetahuan, koleksi  ibadah kepada Allah dan skill kepimpinan yang baik dari masa ke semasa.

c] Laksanakan arahan jamaah dan patuhi segala disiplin yang telah ditetapkan dengan benar dan sabar.

d] Dekati dan santuni masyarakat khasnya anak - anak muda dengan adab dan akhlak Islami yang terpuji.

e] Bina ukhuwwah sesama anggota jamaah. Elakkan berburuk sangka dan membuat tohmahan serta berwaspadalah senantiasa agar jamaah tidak ditembusi fitnah yang merobohkan kekuatan kita.

Salam perjuangan dari saya buat semua pemuda dan saya menyeru semua anak - anak muda di luar sana, jom sokong perjuangan suci ini. Orang Muda Geng Kita !

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia

KOLUM




eHarakah

Please update your Flash Player to view content.