Majoriti pengundi sudah buat keputusan?
| Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, | 23 Feb 2012 |
Adakah majoriti pengundi sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka sokong dalam PRU Ke-13 nanti?
Atau masih ramai lagi pengundi belum membuat sebarang pilihan, malah akan menentukan pada saat akhir. Iaitu bergantung kepada siapa calon yang akan bertanding di sesuatu kawasan, sementara demografi pengundi di kawasan itu pula turut mempengaruhi pengundian.
Di kawasan bandar dan semi bandar, di mana pengundinya bercampur-camppur berbeza dengan kedudukan di luar bandar di mana pengundi majoritinya hanya satu kaum.
Dengan itu sudah dapat dikesan trend pengundian dalam PRU Ke-13 baik di kawasan bandar, semi bandar, mahpun di luar bandar. Bagi kawasan luar bandar, menurut pemerhati politik, majoriti pengundinya dikatakan siang-siang lagi sudah membuat ketentuan parti mana yang akan mereka pilih.
Namun wujud sebanyak sedikit perubahan minda di kalangan pengundi ini, iaitu faktor calon. Siapa calon yang akan mewakili parti yang bertanding. Walaupun mereka, umpamanya selama ini menyokong Umno/BN berdasarkan mereka dari kawasan luar bandar, tetapi sudah ramai pengundi di sesuatu kawasan itu ingin tahu lebih dulu siapa calon parti itu.
Kiranya calon itu dianggap tidak sesuai dan mempunyai banyak kelemahan atau orang luar yang tidak dikenali dan seumpamanya, maka tidak mustahil pengundi itu – walaupun di kawasan tradisi Umno/BN – akan memilih calon yang berwibawa, atau calon ‘ada mutu’ tidak kira dari parti lain.
Oleh itu sudah tidak relevan lagi untuk membuat perhitungan bahawa kawasan luar bandar akan lebih banyak pengundinya menyokong Umno/BN walau dalam apa keadaanpun. Ini, terutamanya faktor calon yang akan dikemukakan dan ini sebanyak sedikit akan merobah scenario politik di luar bandar.
Dengan demikian tidak mustahil calon terbaik dari Pakatan Rakyat, umpamanya dari PAS, akan memenangi undi di kawasan luar bandar. Analogi bahawa ‘ini kawasan kubu kuat Umno/BN’, umpananya sudah tidak relevan lagi. Di mana-mana kawasanpun pertarungan sengit akan berlaku dalam PRU Ke-13 nanti.
Adapun pemberian RM500 oleh kerajaan dan pemberian RM200 untuk pelajar membeli buku, sebenarnya tidaklah mempunyai kesan besar kepada pengundi, terutama di luar bandar, walaupun diakui sebanyak sedikit mempunyai kesan. Oleh itu bagi pendukung Pakatan Rakyat janganlah khuatir sangat mengenai pemberian kerajaan menjelang pilihan raya ini.
Ini adalah tinjauan singkat yang dilakukan oleh pemerhati politik, malah oleh pakar strategis dari parti politik itu sendiri dan kini ramai orang bercakap bahawa peluang menang dalam PRU Ke-13 banyak bergantung banyak kepada faktor Winnable Candidate, atau calon boleh menang.
Sebab itu faktor Winnable Candidate menjadi perhitungan yang amat penting diambil kira oleh parti politik yang bertanding.
Berdasarkan faktor ‘calon boleh menang’ ini menyebabkan ramai juga pengundi belum lagi membuat ketentuan, sehinggalah disaat akhir mereka melihat siapa calon di tempat mereka, yang akan menentukan sama ada mereka menolak atau menerimanya.
Sebab itu, saya yakin Pakatan Rakyat akan mampu memilih calon-calon terbaik untuk diketengahkan dalam PRU Ke-13 nanti. Kes-kes calon melompat selepas menang, tentunya menjadi sejarah hitam bagi parti dalam Pakatan Rakyat. Oleh itu diharapkan tidak akan berulang lagi kes seperti itu selepas menang dalam PRU Ke-13 nanti.
Bagi pengundi bandar dan semi bandar, mereka lebih banyak memerhatikan isu-isu yang berbangkit, umpamanya isu rasuah, penyelewengan dana rakyat, salah guna kuasa, ketidakadilan, pelanggaran hak-hak asasi rakyat, harga barang naik, gambaran hidup bermewah-mewah pemimpin negara.
Sebab itu ada yang menangguhkan buat sementara dalam membuat keputusan untuk mengundi parti mana dalam pilihan raya akan datang dan tentunya ingin melihat dulu siapa calon yang ditawarkan di kawasannya – sama ada untuk Dun atau Parlimen.
Kini parti-parti politik baik Pakatan Rakyat mahupun Umno/BN sedang giat mengatur pembahagian kerusi di antara komponan mereka. Dan mereka juga sedang menyiapkan senarai calon parti mereka. Ini bukan kerja yang mudah, kerana ia sungguh rumit dan penuh sensitif, kerana itu akan memakan masa yang lama untuk membuat keputusan.
Sementara itu bagaimana dengan calon-calon bebas yang dijangka akan bermunculan dalam PRU Ke-13 yang diduga akan ramai untuk ‘mencuba nasib dan pengaruh’. Ini juga menarik diperhatikan, justru ia turut memeriahkan pesta demokrasi di Malaysia itu.
Akhir-akhir ini ada pula keghairana kumpulan tertentu atau NGO tertentu yang mendakwa akan menjadi ‘the third force’ atau ‘kuasa ke-3’ yang akan memberikan kesan ke mana arah keputusan pengundian PRU Ke-13 nanti.
Sementara kita menunggu perkembangan selanjutnya, wajar kita memerhatikan sungguh-sungguh isyarat dan bayangan trend pengundian akan datang. Iaitu bagaimana sikap pengundi terhadap masalah perkauman yang sedang membara, isu-isu rasuah, penyelewengan, kebebasan, demokrasi, pemborosan, kehidupan bermewah-mewah pemimpin negara, pembaziran yang berleluasan dan pelbagai lagi.
Sikap pengundi mengenai isu-isu ini sangat wajar diperhatikan, justru merekalah yang akan menerima kesannya selepas pilihan raya nanti.
