PKPS rugi: Noh sepatutnya salahkan BN

Muhammad Faizal, 06 Mac 2012

SHAH ALAM, 6 Mac: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sepatutnya menyalahkan Barisan Nasional atas kerugian yang berlaku pada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akibat daripada penjualan ladang dengan harga yang murah.

Berkata pada sidang media di sini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, PKPS rugi RM20 juta setahun ekoran penjualan ladang seluas 12 ribu ekar di Miri, Sarawak.

"Ladang tersebut telah dijual dengan harga yang murah iaitu RM8,082 seekar pada tahun 2007.

"Keputusan itu adalah keputusan yang silap dan saya mengesyaki ada orang-orang tertentu mengambil kesempatan dengan perkara ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri telah sedaya upaya untuk mempertahankan ladang ini dari terus dijual.

Malah ia juga telah dirujuk ke mahkamah, tetapi keputusan mahkamah tidak memihak kepada pembeli kerana dokumen jual beli telah ditandatangani PKPS oleh kerajaan negeri semasa pemerintahan Barisan Nasional.

"Jadi Noh jangan hanya hendak menuduh kerajaan yang ada sekarang iaitu Pakatan Rakyat tetapi beliau sepatutnya menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini," sambungnya lagi.

Yaakob turut menyatakan PKPS telah mencatat peningkatan jualan sawit dari tahun ke tahun.

 

Walaubagaimana pun pengeluaran buah sawit berkurang pada tahun 2011 disebabkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengambil semula tanah mereka yang dipajak PKPS di Tanjung Malim.

"Pada tahun 2010 adalah tahun pertama PKPS mula mencatatkan keuntungan operasi.

"Manakala keuntungan pada tahun terdahulu adalah dari keuntungan jualan tanah.

"Dalam memastikan penjimatan perbelanjaan mengurus, PKPS telah melaksanakan beberapa perkara penempatan kakitangan berlebihan di ibu pejabat di projek-projek," kata beliau lagi.

PKPS juga turut melakukan penyelenggaraan sendiri di wisma milik mereka, serta pembelian bahan dan bekalan pejabat dikurangkan.

Selain itu kenderaan berlebihan juga dilupuskan.

"Sumbangan PKPS kepada program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) pada tahun 2011 adalah sebanyak RM2.29 juta.

"Baki wang dan simpanan tetap PKPS telah meningkat kepada RM114 juta jika dibandingkan pada tahun 2007 hanya RM2.71 juta, selain itu pinjaman kerajaan negeri juga berkurangan dari RM41.17 juta tahun 2007 kepada RM31.60 juta pada 2011," jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, pinjaman bank bagi PKPS juga menurun kepada RM22.70 juta pada 2011 daripada RM46.19 juta pada 2007.

Sebelum itu, kerajaan negeri akan menyerahkan laporan kewangan PKPS yang telah diaudit kepada Noh dalam masa terdekat bagi menjawab pertikaian mengenai simpanan tunai syarikat berkenaan yang meningkat kepada RM114 juta tahun lalu.

template joomla