Isu Kedah selesai dalam masa terdekat
| Harakahdaily, | 28 Feb 2012 |
ALOR SETAR, 28 Feb: Ekoran pertemuan mereka dengan pimpinan PAS Kedah hari ini, pimpinan PAS Pusat yakin isu di negeri itu akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat.
Demikian kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian selepas pimpinan PAS Pusat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Azizan Razak.
Mereka juga turut menemui Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, Exco kerajaan negeri Kedah yang belum mengangkat sumpah jawatannya hari ini.
Pimpinan PAS Pusat yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Haji Mohamad Sabu itu juga turut disertai oleh Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Penolong Setiausaha Agung PAS.
Mereka telah berkunjung ke rumah Azizan dan Phalrolrazi dan mengadakan perbincangan hati ke hati untuk menyelesaikan masalah itu.
"Pertemuan hari ini banyak menghasilkan buah fikiran dan cadangan yang membina serta menunjukkan tanda positif ke arah penyelesaian isu di kedah.
"Hasil pertemuan ini akan dibawa ke mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok," kata Salahudin kepada Harakahdaily.
Lapan anggota Exco kerajaan negeri Kedah mengangkat sumpah jawatan mereka hari ini di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.
Dua lagi dijangka akan mengangkat sumpah sebelum tempoh sumpah mereka untuk sessi yang lalu tamat pada 7 Mac ini.
Kedua-dua yang belum mengangkat sumpah adalah Phahrolrazi dan Dr Ismail Salleh.
Lapan yang mengangkat sumpah jawatan hari ini ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Agama, Pelajaran dan Koperasi), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan).
Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan), Datuk Siti Ashah Ghazali (Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat) dan Abd Ghani Ahmad (Penerangan dan Pembangunan Usahawan).
Tiga Exco dari PKR, Datuk S Manikumar (Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam), Lim Soo Nee (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia) dan Tan Chow Kang (Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan).
