Gaji tertinggi RM80 ribu, pemandu naik RM1.70
| Harakahdaily, | 23 Feb 2012 |
KUALA LUMPUR, 23 Feb: PKR menggesa Perdana Menteri mengkaji syor terbaru yang dibentangkan Cuepacs serta saranan Pakatan Rakyat sebelum ini demi membela nasib penjawat awam.
Justeru, PKR terbuka dengan tuntutan terbaru Cuepacs agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2,500 untuk pekerja-pekerja di dalam perkhidmatan awam gred 1 hingga gred 54 menerusi skim yang sedia ada sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Naib Presiden PKR, Nuruk Izzah Anwar berkata, di dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan sebelum Bajet 2012 Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk kerajaan pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam.
Ini, katanya akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada.
Tambahnya, Pakatan Rakyat juga komited untuk menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama berikutan pengenalan gaji minima tersebut, selain insentif khas RM500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana dijanjikan di dalam Buku Jingga.
Ini, ujarnya berbeza dengan syor awal SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori premier akan menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu serendah RM1.70 sebulan.
Menurutnya, mengikut maklumat dari laporan 2006 United Nations (UN) Public Administration Network Public Service, Malaysia mempunyai nisbah jurang gaji antara yang tertinggi dan terendah yang paling tinggi berbanding negara-negara jiran, iaitu sekitar 19.5:1. Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah.
“Oleh itu, PKR menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam satu kenyataan.
PKR, katanya turut menyarankan agar semakan gaji dimandatkan supaya dibuat setiap 5 tahun, agar kenaikan yang selaras dengan inflasi akan dapat dilaksana dengan lebih mudah dan adil.
