Syabas setuju sambung bekalan air pagi ini
| Harakahdaily, | 23 Feb 2012 |
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersetuju untuk menyambung bekalan air Taman Pandan Utama 2 pagi ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan negeri, Iskandar A Samad (gambar).
Ini, katanya setelah pemaju menghantar surat akujanji kepada Syabas semalam yang menyatakan mereka akan mengemukakan Bank Guarantee bernilai RM1.9 juta dalam masa satu minggu.
Katanya, Bank Guarantee itu adalah untuk menjamin pemaju akan menyiapkan kerja-kerja berkaitan bekalan air yang tertangguh dalam masa 12 bulan.
Semalam, beliau telah mengadakan mesyuarat dengan pihak Syabas dan wakil pemaju Taman Pandan Utama 2, di pejabat Syabas Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur mengenai pemotongan bekalan air di taman tersebut.
Pihak Syabas telah diketuai oleh Sanusi Sulieman (Pengarah Eksekutif Bahagian Perancangan) dan Kelvin Siew Weng Ho (Ketua Wilayah, Kuala Lumpur).
Pemaju pula, Sri Wijaya Sdn Bhd, Menara Nikmat Sdn Bhd dan Amal Mawar Sdn Bhd telah diwakili oleh Tan Cheng Foo.
Pada 20 Februari lepas, kata Iskandar pemaju telah mengemukakan surat akujanji bahawa mereka akan menyiapkan kerja itu dalam masa yang ditetapkan itu.
Menurutnya, di antara kerja yang perlu disiapkan adalah pembinaan tangki air dan pemasangan paip.
“Saya juga akan mengadakan rundingan dengan penduduk setinggan di atas tapak tangki air itu untuk memastikan tangki dapat dibina,” ujarnya yang juga Adun Cempaka.
Beliau memberitahu, mesyuarat semalam adalah mesyuarat kedua membincang perkara tersebut.
Mesyuarat pertama, katanya telah diadakan pada 15 Februari lepas juga di pejabat Syabas.
Jelasnya, pada 20 Februari lepas pula beliau telah mengadakan dialog bersama penduduk, Syabas dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
“Saya berharap pihak pemaju akan dapat mengotakan janji mereka untuk menghantar surat akujanji dan pihak Syabas akan menyambung bekalan secepat mungkin selepas menerima surat itu agar penderitaan penduduk akan berakhir,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Walau bagaimanapun, ujarnya adalah wajar pihak Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera di atas sebab-sebab kemanusian memandangkan persetujuan telah dicapai dan menunggu untuk dilaksanakan.
Beliau berkata, buat masa ini terdapat penduduk yang terpaksa mengangkut air dari tingkat bawah ke tingkat lima dan terdapat kemungkinan akan berlaku kemalangan atau musibah sekiranya keadaan seperti itu berlarutan.
