Penduduk miskin sukar dapat rumah di KL

Harakahdaily, 22 Feb 2012

(Antara anak muda yang menyertai majlis Hi Tea anjuran Geram di PPR Jelatek)

KUALA LUMPUR, 23 Feb: PAS mendakwa penduduk miskin di sekitar Kuala Lumpur amat sukar untuk mendapatkan rumah khasnya melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Peguam muda, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi yang juga penasihat undang-undang Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), peraturan yang ditetapkan tidak pro rakyat walaupun nama projeknya perumahan rakyat.

Beliau memberikan contoh PPR Jelatek. Walaupun ramai antara mereka sudah lama tinggal di situ, namun ramai yang masih tidak mampu memiliki rumah sendiri meskipun telah bertahun menetap di situ.

Ekoran itu, beliau menggesa anak muda supaya melakukan perubahan dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Ahmad Zamri (gambar) berkata demikian ketika berucap di majlis Hi Tea anjuran Gerakan Anak Muda (GERAM) yang dipelopori oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa.

Mereka berjaya mengadakan program susulannya selepas majlis pelancarannya pada 21 Januari 2012 yang lalu di PPR Jelatek, Datuk Keramat, Titiwangsa.

GERAM mendekati anak muda di PPR Jelatek itu dengan mengadakan aktiviti Hi Tea dan Sembang Santai Anak Muda pada 19 Februari 2012.


GERAM memilih kedai makan di pintu masuk utama PPR jelatek sebagai lokasi aktiviti dan seramai 50 orang anak muda hadir dalam majlis ini.

Hi Tea dimulakan pada jam 5.00 petang dengan persembahan hiburan oleh kumpulan nasyid As Saufi dengan menyanyikan dua buah lagu.

Kumpulan As Saufi yang dipimpin oleh Ustaz Shafiee merupakan kumpulan nasyid yang pernah suatu ketika dulu berada di kemuncak persada industri nasyid negara turut bersama dalam perjuangan Islam kini.

Majlis diteruskan dengan ucapan yang disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa, ustaz Mohamad Suhaimi  bin Abdul Aziz.

Dalam ucapannya, Suhaimi menyentuh  kewujudan GERAM iaitu bagi memupuk minat anak muda untuk berpartisipasi dengan pelbagai kegiatan kepemudaan. Selain itu, GERAM sebagai platform anak muda berorganisasi bagi memimpin kebangkitan anak muda di negara ini.

Anak muda perlu menjadi  penggerak kepada kebangkitan rakyat, dan sensitif dalam melihat segala kepincangan yang berlaku di negara ini dari sudut penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, penindasan, kezaliman, ketirisan, serta jenayah yang dilakukan oleh pemimpin negara.

Beliau menggesa supaya anak muda tidak berdiam diri sebaliknya bangkit menyelamatkan negara dari kemusnahan oleh tangan-tangan pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan peranan utama anak muda adalah dalam PRU ke 13 dalam memimpin perubahan.

Beliau turut mengumumkan program susulan GERAM bersama anak muda Jelatek dengan Konvoi Anak Muda ke Sungai Hulu Yam bulan depan.

Majlis diakhiri dengan persembahan khas Kumpulan As Saufi serta serahan T Shirt GERAM kepada anak muda PPR Jelatek.

Rata-rata anak muda yang hadir merasa puas dengan penjelasan dan program tersebut dan mahu program lebih kerap diadakan bagi mengisi masa anak muda di kawasan tersebut.

template joomla