PAS WP khuatir penduduk kampung tradisi diusir
| Harakahdaily, | 01 Feb 2012 |
“Semakin banyak kampung yang dilenyapkan dalam peta bandaraya Kuala Lumpur, dan hanya tinggal nama dalam lipatan sejarah,” kata ketua penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.
Katanya, Kampung Baru adalah tanda aras kepada permasalahan yang dihadapi oleh penduduk asal yang terpaksa menyerahkan nasib mereka ditentukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan pemaju tertentu.
Tambahnya, tidak mustahil kampung lain seperti Kampung Padang Balang akan menyusul mengikut jejak Kampung Baru.
Justeru, katanya PAS WP benar-benar berharap kerajaan memelihara kampung-kampung warisan sekitar Wilayah Persekutuan bagi menjaga keaslian dan kepentingan penduduk asal.
Beliau berkata, istilah ‘mencemarkan kota’ tidak wujud sekiranya kampung-kampung itu dipelihara dengan baik sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara Barat.
“Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mesti menjamin tiada lagi usaha mengambil alih kampung-kampung, sebaliknya mesti menjaga hak dan kepentingan penduduk dengan memastikan keselamatan dan pemeliharaan kampung terbabit,” ujarnya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Selain daripada itu, ujarnya isu perumahan di bandaraya Kuala Lumpur merupakan isu besar yang perlu difikir dan ditangani secara serius oleh kerajaan.
Katanya, rakyat sukar membeli rumah di sekitar bandaraya memandangkan kosnya amat tinggi berbanding dengan kawasan di luar bandaraya Kuala Lumpur.
Kesannya, kata beliau segelintir penduduk yang tidak mampu memiliki rumah terpaksa menetap di perumahan setinggan yang akhirnya mereka juga diusir kerana dianggap menetap di kawasan ‘haram’.
Beliau menambah, Kampung Semarak, Kampung Berembang, Kampung Chubadak, Kampung Kerinchi, Indian Settelement di Kampung Pandan adalah mangsa kerakusan pembangunan ‘mapan’ kerajaan.
Mereka, ujar beliau akhirnya terpaksa memikirkan nasib dan masa depan mereka sendiri tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Justeru, katanya PAS WP mengharapkan kerajaan berusaha memberikan kemudahan terbaik kepada semua penduduk di Wilayah Persekutuan.
Rakyat, ujarnya lagi berhak dibantu untuk mendapatkan rumah-rumah di dalam atau kawasan sekitar Wilayah Persekutuan denga harga yang berpatutan.
Selain dari Projek Perumahan Rakyat (PPR), katanya rumah-rumah teres di taman perumahan juga perlu diusahakan dengan kawalan harga supaya rakyat berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki rumah.
