NFC enggan terima memorandum Jingga 13

Harakahdaily, 31 Jan 2012

PETALING JAYA, 31 Jan: Jingga 13 hari ini mendakwa Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr. Salleh Ismail enggan menerima sebarang memorandum dari pihak mereka.


Menurut setiausahanya, Saifuddin Shafi Muhammad, mereka yang hadir di Pejabat NFC Sdn Bhd di pusat perniagaan mewah Solaris Mont Kiara hari ini mendakwa disambut seorang pegawai yang dikenali sebagai Khaidir Jamal.

Pegawai itu ujarnya, memberitahu bahawa Dr. Salleh enggan menerima memorandum yang dibawa mereka.

Memorandum yang mahu diserahkan itu antara lain mendesak NFC mendedahkan butiran perbelanjaan kad kredit atas nama individu yang dibayar oleh syarikat.

"Walaupun Sdr Fariz Musa selaku Ketua Koordinator menyatakan bahawa Jingga 13 mewakili kehendak rakyat untuk dapat penjelasan, namun pegawai itu bertegas untuk mengikuti arahan atasan dengan alasan NFC adalah 'entiti perniagaan'.

"Pegawai itu juga menyatakan tidak mahu menganggu tugas PDRM walaupun hakikatnya berkali-kali Wan Shahinur Izmir, Pengarah Eksekutif NFC tampil membuat kenyataan menafikan tuduhan yang juga dalam siasatan PDRM," katanya.

Sementara itu, beliau juga mempersoalkan kenapa Perkasa dan 11 NGO diberi keistimewaan dan dijemput khas untuk diberi penerangan oleh NFC seminggu lalu sedangkan mereka sebagai kumpulan yang melaporkan salah laku NFC kepada pihak SPRM dan PDRM tidak dilayan.

"Jingga 13 terus komited untuk terus membongkar penyelewengan melibatkan wang rakyat.

 

"Jingga 13 marah kerana isu ini seperti mahu diselindungkan dan perhatian rakyat dialih kepada isu-isu tempelan dan remeh," katanya.

template joomla