Kajian: Kesan negatif pemecatan Hasan Ali minima
| Harakahdaily, | 26 Jan 2012 |
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melalui satu tinjauan yang dijalankan mendapati tindakan PAS memecat keahlian Dr Hasan Ali hanya memberi kesan minimum di kalangan masyarakat Melayu.
Pengarah Operasinya, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, tinjauan tersebut telah menggunakan dua kaedah iaitu dengan menilai komen-komen pembaca terhadap isu pemecatan ini sebagaimana yang dipaparkan oleh media-media baru seperti Malaysiakini, Malaysian Insider, Berita Semasa dan Youtube.
Manakala keduanya, dengan melakukan wawancara terhadap responden-responden terpilih yang mewakili 24 kawasan parlimen seluruh negara.
Menurutnya, hasil penilaian mendapati 85 peratus daripada komen-komen pembaca Malaysiakini dan 67 peratus daripada komen-komen pembaca Malaysian Insider adalah positif terhadap pemecatan, manakala bagi pembaca Berita Semasa pula 44 peratus menyokong pemecatan, manakala 49 peratus tidak menyokong dan selebihnya tidak pasti.
Tinjauan juga dibuat terhadap penonton klip Youtube berkaitan dengan pengumuman Presiden PAS mengenai pemecatan Dr Hasan Ali seperti yang diterbitkan oleh TVPAS. Daripada 67,796 penonton, 273 penonton memberi maklumbalas sama ada like atau dislike yang boleh menjadi petunjuk (indicator) sama ada menyokong atau tidak. 80 peratus daripada 273 penonton yang memberi maklumbalas itu, menyatakan ‘like’ yang boleh digambarkan sebagai positif terhadap pemecatan.
"Melihat kepada penilaian terhadap respon pembaca-pembaca dan penonton-penonton media baru, kesan positif hasil daripada pemecatan Dr Hasan Ali adalah lebih dominan," katanya.
Menurutnya lagi, PPP juga menjalankan tinjauan melalui kaedah wawancara terhadap 24 Yang Dipertua PAS kawasan, dengan anggapan pandangan mereka mewakili pandangan golongan pakar disebabkan keterlibatan mereka secara langsung dengan masyarakat akar umbi di samping pengalaman mereka yang luas dalam kegiatan politik.
Tinjauan turut mengambil kira kemungkinan berlakunya bias dalam memberi pandangan sebagaimana yang biasa berlaku bagi tinjauan yang bersifat kualititatif.
"Hasil wawancara tersebut, dapat disimpulkan bahawa bagi ahli-ahli PAS pemecatan Dr Hasan Ali tidak langsung menimbulkan reaksi negatif.
"Manakala bagi masyarakat awam pula khususnya pengundi-pengundi Melayu, 9 Yang Dipertua PAS kawasan menjangkakan pemecatan itu boleh memberi kesan negatif kepada kawasan mereka, manakala 15 yang lain melihatnya memberi kesan yang positif atau tidak memberi apa-apa kesan," jelasnya.
Hasil wawancara itu juga jelasnya boleh disimpulkan bahawa penerimaan masyarakat Melayu di kalangan bukan penyokong parti terhadap pemecatan tersebut adalah terpecah dua iaitu 50–50.
Tambahnya, meskipun tinjauan yang dilakukan ini dibuat dalam tempoh yang begitu singkat dan menggunakan kaedah yang agak mudah, ia dapat memberi gambaran awal tentang kesan pemecatan Dr Hasan Ali dari PAS terhadap pengundi-pengundi Melayu khususnya golongan atas pagar.
"Berdasarkan kedua-dua tinjauan, penilaian terhadap komen-komen pembaca media baru dan wawancara yang dijalankan, kesan negatif dari pemecatan Dr Hasan Ali di kalangan masyarakat Melayu khususnya adalah sangat minima.
"Malah sekiranya merujuk kepada maklumbalas pembaca-pembaca akhbar alternatif seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider, kesan positif pemecatan dilihat lebih ketara berbanding kesan negatif. Sehubungan dengan itu, boleh disimpulkan kesan negatif pemecatan Dr Hasan Ali tidaklah membimbangkan," katanya.

