KUANTAN: Sistem baru pertandingan terbuka (tanpa pencalonan) yang dimulakan Umno dalam pemilihan parti itu bermula kali ini, menyaksikan kebanjiran calon yang tampil menawarkan diri.

Di Pahang sahaja, 2,600 calon mengesahkan pertandingan selepas tutup tempoh penarikan diri.

Paling menarik ialah di bahagian Indera Mahkota yang mencipta rekod dalam pemilihan Umno kali ini apabila berlaku perebutan tujuh penjuru bagi merebut jawatan ketua bahagian.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Pahang Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim mengumumkan 8 lagi berlaku pertandingan jawatan Ketua Bahagian ialah Kuantan, Maran, Jerantut, Raub, Paya Besar, Indera Mahkota, Bera, Kuala Krau dan Cameron Highlands.

Manakala lima jawatan ketua bahagian dimenangi tanpa bertanding iaitu Pekan, Temerloh, Bentong, Lipis Dan Rompin. Bagaimanapun, semua jawatan lain dipertandingkan.

Di Indera Mahkota penyandang ketua bahagian Datuk Mohd Hazmi Yusof dicabar Setiausaha Umno negeri Datuk Abdul Rahim Abas, Bendahari Umno negeri Ngah Ismail, Pengerusi Veteran Umno Indera Mahkota Shahrom Zainuddin, Ketua Cawangan Indera Mahkota 16 Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid, Ketua Cawangan Indera Mahkota 6 Abdullah Syukur dan Naib Ketua Umno Bahagian Mahasan Hussain.  

Mohd Hazmi kalah kepada calon PAS Andansura Rabu di Dewan Undangan Negeri Beserah dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.     

Bagi Cameron Highlands, penyandang Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dicabar anggota Umno bahagian itu, Wan Rahaimin Wan Mustapha.

Penyandang Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan Pahang dicabar anggota bahagian itu Mohd Ghazali Kamaruzaman.

Penyandang bahagian Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dicabar Ketua Penerangan Bahagian itu Ahmad Nazlan Idris yang juga anggota Parlimen Jerantut.

Bagi Bahagian Kuantan, penyandang Datuk Wan Adnan Wan Mamat dicabar anggota Jawatankuasa (AJK) Bahagian itu Ab Mutalib Shamsuddin dan Bahuri Geran (Ketua Cawangan Bandar Kuantan Pusat).

Di Bahagian Paya Besar, penyandang Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman ditentang AJK Bahagian Datuk Abdul Manan Ismail yang juga anggota Parlimen Paya Besar.

Di Maran, Pemangku Ketua Bahagian itu Datuk Ismail Abd Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dicabar Setiausaha Barisan Nasional Pahang Muhamad Abdullah dan AJK Bahagian Maran Ismail Mat Resat.

Di Kuala Krau, penyandang Datuk Ismail Mohamed Said dicabar anggota bahagian itu Nik Affendy Nik Abdul Rashid.

Di Bera, penyandang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dicabar Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Mohd Azizan Che Omar.

Share on Myspace