Syria: Perancangan barat serangan bom kimia?

Salmiyah Harun | .

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) tidak menolak konflik berlaku di Syria mempunyai modus operandi yang diatur oleh pihak barat untuk menyerang negara itu.

Menurut Penyelaras Kempen Selamatkan Mesir, Aiman Athirah Al Jundi suasana di Syria hari ini tidak ubah sepertimana yang berlaku di Iraq dan Afghanistan.

"Misalnya isu di Syria, kita mengambil sikap berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan termasuk gas kimia yang dilepaskan menyebabkan lebih 2,500 rakyat termasuk kanak-kanak terbunuh," katanya.

Ini kerana, jelasnya penggunaan bom kimia itu dipercayai ada unsur-unsur sabotaj daripada pihak barat kononnya tindakan itu adalah kesalahan Basyar Al Assad dan tenteranya.

Ekoran itu, katanya US merancang untuk menyerang Syria kononnya tentera Basyar telah melancarkan serangan bom kimia menyebabkan ribuan terbunuh.

"Kita mendesak US jangan campur tangan dan kita mahu OIC mengadakan sidang khas berhubung konflik di Syria dengan segera," katanya kepada Harakahdaily.

Apa yang berlaku ini, katanya pihak OIC seharusnya menjalankan siasatan siapa dalang yang cuba menangguk di air yang keruh.

Serangan pada 21 Ogos  lalu itu dipercayai dilakukan ketika penduduk sedang tidur dan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan bayi.

Pasukan tentera Syria melancarkan roket yang dilengkapi dengan gas saraf ke beberapa kawasan pinggir bandar termasuk Ain Tarma, Zamalka dan Jobar di Ghouta.

Kesemua mayat mangsa mengalami tanda-tanda terkena gas beracun itu iaitu salur darah mengembang, kaki sejuk dan mulut berbuih.

Tindakan tentera Assad itu menyebabkan seluruh dunia mengutuk tindakannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

 

Share on Myspace