Mesir: Dunia Islam tunggu pendirian Malaysia

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Selepas pembunuhan beramai-ramai yang berlaku hujung minggu lepas, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman patut menasihati kerajaan untuk menyemak semula pendirian kerajaan terhadap Mesir.

“DAP membidas tindakan angkatan tentera Mesir yang bertindak membunuh beratusan penyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi,” ujar Setiausaha Antarabangsa, V Sivakumar dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong dalam kenyataan media bersama, semalam.

Jumlah kematian dari pertempuran di Cairo dilaporkan mencecah 120 pada hari Ahad.

Lebih daripada 200 penyokong Muslim Brotherhood sudah dibunuh sejak Presiden Morsi digullingkan dalam rampasan kuasa (coup) pada 3 Julai. Dalam insiden terbaru hujung minggu lepas, ramai dilaporkan telah ditembak di bahagian kepala atau tubuh.

Menurut mereka, keadaan genting ini memerlukan perhatian dan tindakan dari dunia. Sebagai pemimpin dunia yang bertanggungjawab, kerajaan Malaysia mesti menyemak semula pendirian kerajaan terhadap Mesir.

Setakat ini, kata mereka Kementrian Luar telah mengambil keputusan untuk tidak campur tangan dalam ‘hal ehwal dalaman’ negara Mesir.

Namun bagi mereka, dasar ‘tidak menjaga tepi kain orang’ ini sudah ketinggalan zaman, terutama dalam keadaan sedemikian di mana dunia Muslim menunggu Malaysia menyatakan pendiriannya.

“Jika Malaysia tidak bersuara untuk kebenaran, keamanan, hak asasi manusia dan demokrasi di dunia Muslim, negara mana lagi yang akan bersuara?” tanya mereka.

Justeru, sekurang-kurangnya, mereka mengharapkan bahawa kerajaan Malaysia:

1) Membidas dengan terbuka rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan Presiden Morsi yang telah dipilih secara demokratik

2) Membidas pembunuhan penyokong Presiden Morsi.

Kata mereka lagi, kegagalan untuk membuat sedemikian akan mengecewakan bukan sahaja rakyat Malaysia malahan ramai di seluruh dunia yang pernah memuji Malaysia yang memainkan peranan kepimpinan dalam dunia Muslim dan dunia ketiga.

 

Share on Myspace