Dalam pergolakan yang berlaku di Mesir yang menyaksikan berlakunya rampasan kuasa serta Presiden Dr Morsi digulingkan, hampir seluruh dunia dan umat Islam mengecam kejadian itu. Ia bukan saja menggambarkan sebuah kerajaan Islam yang dipilih secara sah dan demokratik diakhiri dengan cara yang tidak demokratik tetapi juga kerana menampakkan adanya permainan tangan-tangan ghaib di belakang kejadian itu.

Sementara pelbagai pihak di Malaysia menyuarakan bantahan serta kecaman atas kejadian itu sejak semalam lagi, pendirian kerajaan dan Najib tetap ditunggu-tunggu mengenainya. Ramai yang ingin tahu apakah pendirian Najib dalam kejadian itu. Oleh kerana Najib kebetulan sedang mengadakan lawatan rasmi ke United Kingdom, Najib hanya bercakap kepada wartawan mengenai insiden di Mesir pada hari ini.

Sementara Anwar, PKR dan PAS secara terbuka dan tegas mengecam rampasan kuasa melalui tentera untuk mengguling Dr Morsi itu sambil mengajak seluruh dunia yang mengamalkan demokrasi turut mengutuk tindakan sebegitu rupa, kenyataan Najib mengenai insiden Mesir agak mengecewakan.

Beliau seolah-olah mengutuk tindakan melakukan perubahan dan menjatuhkan Hosni Mubarak sebelum ini dengan mengatakan perubahan tidak semestinya menjamin kemakmuran sedangkan seluruh dunia mengetahui era 30 tahun Hosni Mubarak penuh dengan segala macam penyelewengan, penindasan serta rompakan wang rakyat. Dalam masa yang sama, Najib seperti gembira dengan penggulingan Dr Morsi dengan berharap kerajaan baru segera dibentuk.

Sebaliknya, pendirian Khairy Jamaluddin dan Pemuda UMNO dilihat lebih matang dan menggambarkan beliau memahami keadaan sebenar yang berlaku di Mesir, sambil turut mengecam rampasan kuasa yang berlaku itu.

Mari kita bandingkan perbezaan kenyataan antara Najib dan KJ mengenai insiden yang berlaku di Mesir itu.

Kenyataan Najib antaranya berbunyi, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak semestinya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

Perdana Menteri juga berkata, perubahan yang tidak diurus dengan baik boleh membawa penderitaan kepada rakyat seperti kenaikan harga barang, peningkatan pengangguran dan industri pelancongan menjadi lumpuh.

Akhirnya ia membawa kepada rakyat sendiri yang menuntut perubahan sekali lagi, oleh kerana perubahan itu tidak memenuhi kehendak rakyat dan apa yang diharapkan oleh kita. Sambil menyifatkan apa yang berlaku di Mesir adalah soal dalaman negara ini dan sesuatu yang sudah terjadi, namun Najib mengharapkan kerajaan baru dapat diwujudkan, yang mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat negara itu.

Bandingkan pula dengan pendirian KJ dan Pemuda UMNO yang berbunyi, "Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam rampasan kuasa dan penahanan Dr Morsi. Insiden yang tercetus selepas demonstrasi berpanjangan ini bukan saja telah meragut nyawa, tetapi juga membawa rusuhan dan pertembungan ganas antara pihak penyokong dan penentang kerajaan di sana.

"Harus diingat bahawa Presiden Dr Morsi adalah seorang pemimpin yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir melalui proses pilihanraya dan bukannya rusuhan jalanan. Beliau tidak sepatutnya digulingkan dengan sebegitu rupa kerana ini bukan saja melanggari prinsip dan amalan demokrasi tetapi juga mengkhianati amanah rakyat.

"Ini adalah iktibar kepada seluruh masyarakat antarabangsa bahawa keputusan demokrasi mestilah diterima dan dihormati oleh semua. Sebarang tindakan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik nyata melanggari batasan undang-undang dan perlembagaan. Oleh itu, tindakan sebegini hendaklah dikecam dan ditolak sepenuhnya."

Jelas terdapat perbezaan yang nyata antara kenyataan Najib dan KJ. Selain hanya bercakap mengenai perubahan dalam perspektif yang sempit dan mengharapkan penubuhan kerajaan baru, Najib langsung tidak mengecam tindakan rampasan kuasa dan menggulingkan Dr Morsi. Berbeza dengan KJ, beliau mengecam apa yang berlaku di Mesir, mahu suara rakyat melalui demokrasi dihormati dan tidak menyebut langsung mengenai kerajaan baru. Secara logiknya, kerajaan baru tidak seharusnya dialu-alukan kerana ia seperti merestui tindakan menjatuhkan Dr Morsi.

Najib seperti menyatakan pendirian yang senada dengan Amerika dan tidak mahu menyinggung kuasa besar itu.

Ternampak juga bahawa Najib seperti tidak mahu memahami bahawa ramasan kuasa dan penggulingan Dr Morsi bukanlah kerana kerajaannya tidak memenuhi aspirasi rakyat tetapi kerana diganggu-gugat secara halus oleh tangan-tangan ghaib yang mahu menjatuhkan kerajaan Islam itu. Kemenangan Dr Morsi adalah kemenangan majoriti iaitu 52 peratus suara rakyat dalam pilihanraya lalu tetapi golongan liberal dan sekular sentiasa mahu menjatuhkannya.

Pelbagai isu dan kelemahan dicari, tambahan pula dengan adanya bantuan Amerika, Yahudi dan Israel, usaha menggoncang kerajaan Dr Morsi sentiasa berjalan. Bukti nyata tentang adanya campurtangan Amerika, Yahudi dan Israel ialah bilamana sebaik saja Dr Morsi digulingkan, terowong yang merupakan laluan ke Palestin segera ditutup dan ini menyebabkab rakyat Palestin terkepung serta tidak dapat melarikan diri lagi jika sesuatu berlaku di negara itu.

Mesir, antara negara yang bersempadan dengan Palestin memang sentiasa dalam radar dan pemerhatian Amerika, Yahudi dan Israel dalam usaha mereka terus menindas dan menekan rakyat Palestin. Jika selama terowong itu dibuka, rakyat Palestin ada tempat untuk melarikan diri, kini dengan penutupannya mereka jadi terkepung dan tidak boleh lari ke mana-mana lagi.

Dalam isu Mesir, jelas matlamatnya ialah meluaskan pengaruh dan kuasa Israel di Palestin.

Dr Morsi dipilih sebagai Presiden Mesir melalui pilihanraya yang sah dan demokratik setelah kerajaan pimpinan Hosni Mubarak yang penuh dengan penyelewengan, pembaziran, kemewahan dan pelbagai salah guna kuasa selama 30 tahun ditolak oleh rakyat negara itu. Apabila Dr Morsi yang bersih peribadi dan akhlak keluarganya juga terpuji memimpin Mesir, kuasa-kuasa Barat terutama Amerika nyata tidak senang dengan beliau. Pelbagai alasan dan kelemahan dicari untuk menyingkirkannya. Dr Morsi dianggap mengancam Israel.

Sementara kita rakyat Malaysia bersedih dengan apa yang berlaku di Mesir dan banyak masjid turut melakukan sembahyang hajat memohon pertolongan Tuhan, membaca dan mengamati kenyataan serta pendirian Najib, sebenarnya jauh lebih menyedihkan. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Share on Myspace