(Pelabuhan Bintulu...pesat membangun dan memerlukan perhatian)

 

BINTULU: Rumah merupakan salah satu keperluan asas bagi setiap individu yang hidup di dunia ini. Tidak kira di mana manusia berada, pasti rumah akan dijadikan tempat untuk berteduh dan berlindung dari panas siang dan sejuknya malam.

Boleh dikatakan jumlah rumah di Malaysia dari masa ke masa bertambah dengan semakin bertambahnya populasi rakyat Malaysia.  Jika jumlah rumah tidak cukup menampung populasi rakyat yang semakin bertambah, maka timbullah pelbagai masalah seperti tiada tempat tinggal dan kenaikan harga rumah.

Perkara inilah yang berlaku di Bintulu, sebuah bandar di Sarawak yang terkenal dengan hasil petroleumnya. Semakin hari semakin banyak projek yang akan dibangunkan di sekitar Sarawak ini. Seperti projek di MLNG, projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Taman Perindustrian Samalaju dan lain-lain.

Secara sifirnya, penambahan projek-projek baru akan meningkatkan jumlah kemasukan pekerja-pekerja baru bagi melaksanakan projek yang dibangunkan. Sudah pasti pekerja yang baru datang ke Bintulu ingin mencari tempat berteduh sementara mereka bekerja disini.

Namun begitu, jumlah rumah yang sedia ada tidak cukup banyak untuk menampung situasi ini. Projek perumahan baru juga disifatkan baru bermula dan tidak cukup banyak bagi menampung keperluan mereka yang ingin tinggal disini.

Rumah yang dijual pula terlalu mahal dimana harga jualan yang dimaklumkan adalah sekitar RM380,000 ke atas bagi rumah teres tengah dua tingkat.

Harga ini tidak munasabah bagi mereka yang baru bekerja selama 5 ke 10 tahun dengan berpendapatan RM2000 ke RM3500 sebulan. Ini kerana, bagi sebuah rumah yang berharga sebegini, wang pendahuluan yang harus dikeluarkan adalah RM40,000 dan bayaran bulanan adalah sebanyak RM1900 ke atas baki pinjaman selama 30 tahun.

Bagi mereka yang ingin menyewa rumah pula, masalah yang dihadapi adalah harga sewa rumah juga sangat mahal. Bila disebut ‘rumah sewa’, perkara pertama yang menghantui minda adalah harga sewa yang sangat tinggi.  Tuan rumah terpaksa menaikkan harga sewa ke RM1000 dan ke atas sebulan bagi menampung bayaran rumah yang mereka miliki.

Rumah sewa yang berharga sedemikian bukanlah berperabot lengkap, bahkan ada yang kosong dan tiada perabot. Harga sebegini jika dibandingkan dengan harga sewa rumah di Semenanjung amatlah jauh bezanya. Dengan harga RM1000, rumah teres dua tingkat berserta dengan perabot mampu dimiliki sementara.

(Industri minyak dan gas menghasilkan peluang pekerjaan yang banyak dan memerlukan perumahan yang baik)

 

Rata-rata yang baru mula bekerja disini mengalami kesulitan untuk mencari rumah sewa. Itu baru cerita berkenaan harga sewa rumah. Masalah harga sewa bilik juga tidak jauh beza iaitu diantara RM300 ke RM500 merupakan harga ‘standard’ bagi satu bilik disini.

Tidak dinafikan isu ini menjadi berita hangat sehingga terpampang di salah sebuah akhbar tempatan baru-baru ini. Di dalam berita yang bertajuk “Harga rumah di Bintulu paling mahal di Sarawak”, Menteri Perumahan Sarawak ada menyebutkan beberapa tindakan susulan akan diambil bagi mengatasi masalah ini. Namun, sehingga kini masalah ini masih berlarutan seolah-olah tiada penghujungnya.

Beliau juga ada menyatakan bahawa perkara ini hanya sementara sahaja kerana projek perindustrian yang akan dimajukan masih dalam fasa pembinaan dan ia kembali pada kadar biasa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Justeru itu, kita ingin mendesak pihak yang berwajib untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah harga rumah yang semakin melambung tinggi ini. Jika harga rumah yang dijual adalah rendah, sudah pasti penyewa tidak akan menaikkan harga sewa rumah dengan sewenang-wenangnya.

Pihak kementerian sewajarnya campur tangan dalam urusan menetapkan harga maksimum pada setiap satu jenis rumah yang dimajukan. Jika pihak kementerian hanya menyatakan masalah ini hanya akan berlarutan 2 hingga 4 tahun sahaja, bererti kerajaan Barisan Nasional memang tidak memperdulikan nasib rakyat dan sanggup mengorbankan kehidupan rakyat demi kepentingan projek yang sedia ada. Jelas, keperihatinan kerajaan BN terhadap pengundi yang mengundi mereka selama ini tidak diendahkan.

Impak atau kesan kenaikan harga rumah ini bukan sahaja terkesan kepada warga bukan Bintulu, bahkan rakyat jati 'vaee' atau Bintulu juga merana kerana kesusahan yang mereka hadapi untuk memiliki rumah sendiri.

Tenaga pengajar juga turut terkesan dengan situasi yang membebankan ini. Bagi warga guru yang datang jauh dari semenanjung dan sanggup berkorban untuk mengajar anak bangsa di Bintulu, pihak Kementerian Pelajaran wajib mengambil perhatian yang secukupnya kepada mereka dengan menjaga kebajikan mereka dengan sebaiknya.

Dalam keadaan Bintulu yang kekurangan guru di Sarawak dan masih memerlukan tenaga guru dari Semenanjung, pihak kementerian harus memberi yang terbaik bukan hanya dengan elaun perumahan untuk mereka, bahkan pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bintulu mencadangkan agar dibina kuarters atau perumahan guru yang secukupnya. Ini penting supaya tenaga pengajar merasa dihargai atas pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa di sini. Jangan dibezakan antara warga Semenanjung dan Sarawak dalam isu ini.

Kita tidak mahu slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang sering dilaungkan kerajaan hanya menjadi omongan kosong dalam keadaan rakyat Bintulu masih dibelenggu dengan masalah-masalah ini.

Walaupun pihak kerajaan ada bercadang membina perumahan mampu milik tetapi harganya masih lagi menjadi isu kerana siapakah pemilik sebenarnya yang mampu memiliki rumah tersebut kerana kalau harga rumah mampu milik dibina dengan banyak sudah pasti harga perumahan swasta dengan sendirinya akan menurun.

Kita mengesa agar perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan kerana masalah ini bukan sahaja berlaku di Bintulu bahkan hampir seluruh kawasan bandar di Sarawak.


* Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Share on Myspace