Rashid Hasnon dilantik TKM 1 P. Pinang

Mohd Sabri Said | .

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Mohd Rashid Hasnon dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang mulai hari ini.

Majlis angkat sumpah berlangsung pagi tadi yang diadakan di Dewan Sri Pinang di hadapan Tun Yang Terutama Datuk Seri Tun Dr Haji Abdul Rahman Haji Abbas.

Rashid juga memegang forfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat dan Pembangunan Keusahawanan.

Rashid yang ditemui Harakahdaily berkata, beliau akan meneruskan usaha penyandang terdahulu Dr Mansor Othman untuk mempekasakan martabat koperasi dan usahawan dan berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berkaliber.

"Apa yang telah disusun oleh Kerajaan Pakatan Rakyat penggal lalu begitu bermanfaat pada rakyat. Maka, saya akan teruskan, Insya Allah," katanya.

Sementara itu, Prof Dr. P.Ramasany kekal untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri 2.

Beliau turut diamanahkan sebagai Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia,  Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu Chow Kon Yeow dilantik sebagai Exco Kerajaan Tempatan, pengurusan dan Tembatan Banjir, Datuk Malik Kassim sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan.

Choong Eng pula dilantik sebagai Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti serta Kesenian, Lim Hock Seng sebagai Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air dan Telekom) serta Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi).

Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan pula dipegang Law Heng Kiang manakala Phee Boon Poh pula dilantik sebagai Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar.

Exco Perancangan Bandar dan Desa serta Perumahan pula diberikan kepada Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh manakala Adun termuda dari Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dilantik sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan.

Share on Myspace