RANTAU PANJANG: Hanya bekas ketua Cabang PKR Rantau Panjang, Datuk Dr Muhammad Agus Mat Nor yang menyertai BN, manakala organisasi parti itu tetap utuh sehingga sekarang.

 

Pemangku Ketua Cabang PKR Rantau Panjang, Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut berkata, bekas Ketua Cabang bersendirian, tanpa diikuti ahli dan penyokong PKR lain.

 

“Kita kenal pasti ada kaitan isu peribadinya sehingga beliau menyatakan sokongan kepada calon Parlimen BN, Ghazali Ismail,” katanya di sini.

 

Mohd Agos dalam laporan akhbar hari ini mengumumkan pembubaran Cabang Rantau Panjang kerana kecewa dan tidak puas hati terhadap beberapa isu dalam Pakatan Rakyat.

 

Mustapa berkata, kes ketua cabang PKR hanya terpencil kerana ia hanya melibatkan dirinya sahaja dan tidak ahli lain di Rantau Panjang.

 

Hadir sama pada penjelasan itu Timbalan Ketua Cabang Rantau Panjang, Noraini Husin, Naib-Naib Ketua, Kamarudin Mustapha, Othman Daud dan Mohamad Mat Zain, Ketua AMK, Zulkifli Jaafar, Timbalan Ketua Wanita Kazmah Husin, setiausaha Maawiah Mohamad dan Ketua Penerangan, Khabariah Awang.

 

Mustapa juga menolak sama sekali dakwaan konoonnya jentera PKR Rantau Panjang lumpuh.

 

Menurutnya juga PKR Rantau Panjang berusaha keras membantu calon Parlimen dan Dun yang ditandingi PAS.

 

“Pimpinan PKR Rantau Panjang berikrar terus mempertahankan parti bagi mencapai misi menuju ke Putrajaya,” katanya.

 

Beliau juga berharap seluruh ahli dan penyokong PKR memberi sokongan sepenuhnya kepada calon PAS yang bertanding di Rantau Panjang dan seluruh negara.

 

Calon PAS Bukit Tuku, Abdul Rasul Mohamed berkata, sokongan padu jentera PKR tidak mampu dinafikan biar pun ada bekas pemimpinnya cuba dipengaruhi Umno.

 

Sementara itu Ketua Cabang PKR Gua Musang, Mohd Zuki Ibrahim menafikan 400 ahli di parlimen tersebut yang diketuai bekas Ketua Angkatan Muda, Mohd Fauzi Mohd Nor mahu menyokong BN.

 

Katanya, Mohd Fauzi menyertai Umno sejak 2008 dan sejak tempoh itu beliau tidak kaitan lagi dengan PKR Gua Musang.

Share on Myspace