BN resah, peluang PAS cerah di Kuala Kangsar

Johari Jaafar | .

KUALA KANGSAR: Kerja kuat daripada seluruh petugas parti dan ahli PAS di seluruh kawasan serta pertolongan daripada Allah, pada 5 Mei nanti PAS mampu melakar sejarah untuk menawan kerusi Parlimen Kuala Kangsar

 

Demikian dinyatakan oleh calon PAS bagi Parlimen P.067 Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim yang ditemui di sini semalam.

 

Pada pilihan raya umum kali ini, Khalil Idham Lim ditentang oleh calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Datuk Kamilia Ibrahim (Bebas)

 

Menurut beliau walaupun berlaku perpecahan dalam Umno Kuala Kangsar berikutan Datuk Kamalia bertanding atas tiket Bebas, PAS perlu kepada kekuatan tersendiri untuk menang, bukannya kemenangan itu atas dasar lemahnya BN.

 

"Sedikit sebanyak penyertaaan Datuk Kamalia ada memberi sedikit kesan kepada BN, kerana itulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak datang berkempen di sini, sebelum itu Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Shahrizad Abdul Jalil datang, ini menunjukkan BN cukup bimbang dan cemas di kawasan ini," ujar beliau.

 

Pada pilihanraya umum kali ini beliau mengutarakjan lima tawaran kepada para pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, pertamanya berhubung pembinaan Jambatan Manong ke Seberang Manong yang sehingga kini sudah tiga kali diadakan majlis pecah tanah, jambatan tidak juga siap.

 

"Saya berjanji dalam masa setahun, saya akan tahu jawapannya bagi meneruskan pembinaan jambatan tersebut," katanya.

 

Kedua, ujarnya berhubung pengangkutan awam yang digunakan untuk orang ramai dari Kuala Kangsar ke Simpang Tiga yang sekarang ini begitu daif dan uzur akan digantikan dengan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat kembali berkuasa di Perak.

 

"Kita akan usahakan bas yang lebih baru dan selesa kepada rakyat bagi laluan Kuala Kangsar ke Simpang Tiga Beruas," ujar beliau.

 

Menurutnya dengan bantuan dari kementerian dan agensi yang berkaitan beliau akan usahakan bas yang lebih selesa kepada masyarakat di kalangan pelajar, ibu tunggal dan berbagai lapisan masyarakat yang menggunakan bas itu.

 

Sebelum ini beliau pernah mendedahkan bagaimana daifnya bas yang digunakan di kawasan itu dan beliau sendiri telah menaiki bas syarikat tersebut yang disifatkan terlalu uzur dan merbahayakan penumpang terutama pelajar sekolah.

 

"Bas tersebut sudah berusia 50 tahun dan selayaknya sudah berada di muzium," katanya.

 

Beliau turut menyentuh penempatan di dua kampung iaitu Kampung Baru Jerlun dan Kampung Tersusun Senggang yang sehingga kini penghuninya tidak mendapat hak milik kekal.

 

Dalam manifesto Pakatan Rakyat telah dinyatakan untuk memberikan geran tanah kekal untuk Kampung Tersusun dan Kampung Baru, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menunaikan janjinya, kata beliau.

 

Menurut beliau Kampung Baru Jerlun didiami kaum Cina, manakala di Kampung Tersusun Senggang dihuni oleh orang Melayu.

 

"Terdapat 112 lot tanah yang didiami oleh orang Melayu di Kampung Tersusun Senggang yang hingga kini tidak apa apa status tanah, bila berlaku kematian, menjadi masalah kepada pewaris kerana tanah itu tidak ada apa apa status tanah.

 

“Begitu juga terdapatnya penempatan kecil orang Melayu, Cina dan India yang tinggal di rezab sungai dan jalanraya, kita akan menyelesaikan massalah ini nanti bila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih negeri ini," katanya lagi.

 

Tawaran keempat yang ditengahkan kepada pengundi di sini, mahu menyelesaiakan masalah perparitan yang serius di Kampung Bendang Kering.

 

Pada tahun 2007 lalu, jelasnya kerajaan telah membina longkang bagi menyelesaikan masalah perparitan di kampung tersebut, tetapi longkang tersebut tidak cukup besar dan panjang, sekarang ini longkang tersebut ada yang sudah pecah dan runtuh.

 

"Sistem perparitan di sini akan kita perbetulkaan balik bila Pakatan Rakyat berkuasa nanti," ujar beliau.

 

Tawaran terakhir berhubung industri Labu Sayung yang ada sekarang akan ditingkatkan lagi menjadi lebih baik sejajar dengan perkembangan semasa demi mempertingkatkan industri tersebut, katanya.

 

Pada Pilihan raya Umum ke-12 lalu calon BN, Datuk Seri Rafidah Aziz berjaya mengalahkan calon PAS, Dr Khairudin Datuk Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.

 

Khalil Idham Lim mampu menarik para pengundi Cina di kawasan itu memandangkan beliau keturunan Cina dan boleh berinteraksi dengan mereka, ini satu kelebihan kepada beliau.

 

Jumlah pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar ialah 33,607 orang yang pengundi Melayu berjumlah 67.96 peratus, Cina (23.94%), India (6.96%) dan lain-lain (1.14%).

Share on Myspace