Generasi anak muda yang juga dikenali sebagai Gen-Y (generasi “Y”) sebenarnya lebih cenderung untuk memilih Pakatan Rakyat kerana ciri-ciri istimewa yang ada pada mereka. Gen-Y merujuk kepada mereka yang lahir pada tahun 1977 hingga 1997, adalah sebahagian besar daripada jumlah pengundi yang akan menentukan keputusan Pilihanraya Umum ke-13 pada kali ini.

 

Gen-Y atau juga disebut sebagai generasi milenium tidak lagi dapat dipermainkan dengan janji-janji kosong atau sogokan wang ringgit. Mereka memiliki kesedaran sivik yang tinggi menyebabkan mereka lebih kritikal dalam menilai setiap isu yang sedang berlaku di dalam mahupun di luar negara.

 

Berdasarkan kajian, Gen-Y lebih tertarik kepada jawatan yang menawarkan tanggungjawab dan peranan yang lebih besar, berbanding jika ditawarkan dengan jawatan yang mempunyai pendapatan yang tinggi. Menunjukkan mereka lebih tertarik kepada sistem yang dipengaruhi oleh nilai dan kesedaran, berbanding sistem yang dipengaruhi oleh sentimen kebendaan.

 

Jika Umno BN menyangka, penguasaan Media Arus Perdana menjadikan mereka “kebal” dan memiliki “advantage”, Gen-Y pula berpendapat bahawa kebebasan Media adalah prinsip asas demokrasi, lantas menjadikan tindakan rakus Umno BN ini sebagai senjata yang memakan tuannya sendiri. Lantas menyebabkan slogan transformasi yang dilaungkan oleh Umno BN dilihat tidak lebih dari sekadar retorik politik yang bertujuan untuk memancing undi.

 

Tawaran perubahan yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat, bukanlah tawaran yang semata-mata bersifat materialistik, bahkan perubahan utama yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat ialah mengubah sistem pentadbiran negara kepada prinsip demokrasi dan keadilan yang sebenar. Mengembalikan keadilan dan hak rakyat sebagai pelanggan, serta fungsi sebenar Kerajaan, iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

 

Kerajaan yang mengamalkan ciri-ciri urustadbir yang baik, “Good Governance”, ialah kerajaan yang mengamalkan ketelusan, responsif terhadap kehendak rakyat, serta memelihara kedaulatan undang-undang. Setiap ciri inilah yang sebenarnya lebih utama untuk dinilai oleh rakyat khususnya Gen-Y, berbanding slogan mahupun janji-janji yang ditaburkan oleh setiap parti politik.

 

Justeru, sudah semestinya, perubahan akan membawa kesan yang positif terhadap sistem politik dalam Kerajaan Malaysia. Perubahan akan melahirkan suasana persaingan yang sihat kerana masing-masing akan berlumba-lumba untuk memenangi hati rakyat. Bahkan sistem politik dua parti ini sebenarnya adalah sangat baik untuk mengelakkan monopoli parti tertentu yang akhirnya hanya akan membawa kepada kerakusan dan kegilaan kuasa.

 

Lord Acton, ahli Falsafah Barat, turut menyebut power tends to corrupt, absolute power corrupt absolutely, bermaksud kuasa cenderung untuk melakukan kerosakan, kuasa mutlak yang tidak tergugat akan membawa kepada kerosakan yang mutlak.

 

Justeru, saya menyeru kepada anak muda untuk terus bersama Pakatan Rakyat, melakar sejarah besar politik Malaysia, menerajui perubahan yang memenuhi kehendak dan aspirasi Rakyat Malaysia. Menegakkan kembali keadilan dan memberi kebajikan yang sebenar kepada rakyat untuk kelestarian Negara Malaysia.

 

Penulis ialah Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Share on Myspace