KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh menyekat hasrat rakyat yang mahukan perubahan.

 

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, perubahan itu kini sudah berada di ambang mata dan mereka telah menetapkan keputusan pada 5 Mei 2013.

 

“Mengubah kerajaan adalah langkah terbaik bagi memastikan perubahan total berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

 

Beliau menyatakan sebagai respons kepada kenyataan Najib selaku Perdana Menteri kerajaan sementara merayu-rayu rakyat supaya jangan ubah kerajaan jika mahukan perubahan.

 

Katanya, Najib seperti menyedari bahawa tempoh kerajaan pimpinannya bakal berakhir menjelang Pilihan raya Umum ke-13.

 

Beliau menambah, PM bersikap negatif terhadap perubahan yang ingin dilakukan oleh rakyat seluruhnya.

 

Menurutnya, mengubah kerajaan bagi Najib seperti dunia sudah kiamat, sedangkan mengubah kerajaan adalah suatu yang normal kepada mana-mana negara.

 

Katanya lagi, daripada Jepun dan Korea yang maju dan kaya raya, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, sehinggalah ke negara Timur Tengah yang baru menikmati perubahan.

 

“Apakah rakyat mereka semakin mundur ke belakang dengan mengubah kerajaan atau semakin berkembang?” tanya beliau.

 

Justeru, kata beliau PM sepatutnya memandang positif setiap perubahan yang berlaku kerana sebagai ketua kerajaan, mengubah kerajaan bererti rakyat mahukan sesuatu yang lebih baik pada kerajaannya.

 

Pastinya setiap, ujar Riduan kerajaan baharu akan melakukan pelbagai usaha bagi memastikan kebajikan dan kehendak rakyat terbela.

 

Baginya, jika Barisan Nasional mampu membawa perubahan besar untuk kesejahteraan rakyat, sepatutnya perkara itu telah lama berlaku dan dilakukan.

 

“PM tidak perlu menunggu sekarang jika mereka mahu untuk menurunkan harga kereta, menurunkan harga tol, tarif air dan eletrik, memberi pendidikan percuma, memberi permit teksi individu dan lain-lain,” katanya.

 

Semuanya itu, kata beliau mampu dilaksanakan lama dahulu sekiranya mereka mahu.

 

“Soalnya, mengapa hanya setelah tamat hayat parlimen dan tempoh 5 tahun baharu PM membentangkan tawaran-tawaran lumayan mereka,” katanya lagi.

 

Rakyat Malaysia, ujarnya memerlukan perubahan total dari sudut pemerintahan bagi memastikan struktur dan sistem negara ini terus kukuh terjamin.

 

Ini, kerana katanya Sudah 56 tahun negara ini merdeka, dan Umno BN telah gagal mentadbir kerajaan dan rakyat di negara ini.

 

Tambahnya, telah terbukti BN gagal mentadbir negara dengan berkesan sehingga seluruh rakyat menerima kesan.

 

“Kesan paling ketara adalah berlaku jurang antara miskin dan kaya, rasuah semakin parah, pemimpin hanya mementingkan diri dan keluarga mereka semata-mata, amalan kronisme semakin membarah, golongan miskin semakin ramai dan bertambah terutama di bandar-bandar, rakyat ditekan dengan pelbagai cukai dan kenaikan harga barangan.

 

“Dalam keadaan begini, apakah PM mahu rakyat supaya bersabar lagi?” tanya Riduan lagi.

Share on Myspace