KUALA LUMPUR: Bekas pegawai kanan Felda antara calon PAS yang akan bertanding kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei depan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman membayangkan calon tersebut merupakan anak tempatan dan sudah lama bergerak bersama PAS dalam menangani isu-isu Felda.

Pengumuman calon di Johor akan diumumkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 13 April ini dalam lawatannya ke negeri itu.

"Apa yang menarik kali ialah penglibatan bekas-bekas pegawai Felda membantu PAS di tanah rancangan.

"Pencalonan bekas pegawai Felda ini menunjukkan PAS memilih tokoh-tokoh dari pelbagai segmen masyarakat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) turut berkata, alumni pegawai Felda sudah mula berkampung di Felda bagi membantu PAS dan Pakatan Rakyat berkempen di kawasan tersebut.

"Setakat ini alumni ini mempunyai kira-kira 300 ahli dan mereka sudah mula berkempen untuk PAS di seluruh negara.

"Kalau dulu golongan ini merupakan cabaran bagi PAS kerana mereka membantu BN tapi kali ini mereka membantu PAS. Dengan perkembangan ini, saya yakin lebih ramai kakitangan Felda yang akan menyokong PAS," katanya lagi.

Justeru katanya, PAS mempertingkat kempen di kawasan Felda kerana yakin BN akan berusaha mempertahankan kubu kuat mereka.

"Felda ini sejak sekian lama menjadi deposit tetap BN jadi kali ini PAS akan meningkatkan kempen di Felda dengan bantuan alumni pegawai Felda ini," katanya.

Mazlan juga memberitahu, seorang lagi tokoh dari Felda akan mengumumkan untuk menyertai PAS sebelum penamaan calon pada 20 APril ini.

"Seorang lagi tokoh dan orang kuat Felda akan mengisytiharkan untuk bersama-sama PAS," katanya.

Selain itu ujarnya, sokongan anak muda terhadap PAS dan Pakatan Rakyat juga meningkat di kawasan Felda kali ini.

"Ramai anak muda yang menunjukkan sokongan dan membantu PAS menaikkan bendera dan berkempen melalui lama-laman sosial jadi ini satu perkembangan yang baik dan PAS mempunyai harapan yang cerah kali ini," katanya.

Share on Myspace