PULAU PINANG: Ketiadaan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam arena politik tanahair khususnya di Parlimen Kepala Batas memberi laluan baik untuk PAS memenangi kerusi yang selama ini terlalu sukar ekoran pengaruh datuknya Tuan Guru Haji Abdullah Fahim.

Demikian kata, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas, Saudara Hafiz Kassim mengulas pengistiharaan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden bertanding di Kepala Batas semalam.

Ujarnya, kali ini Ustaz Afnan Hamimi (gambar) dijangka akan berhadapan dengan calon pilihan Pak Lah iaitu Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican ataupun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Helmi Rashid

"Sesiapa pun calon yang diletakan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) kita terus berhadapan.  Kali ini kami yakin boleh kalahkan calon BN.  Apa yang wajar buat sekarang ialah turun padang bertemu rakyat, " terangnya.

Pada Pilihanraya Umum ke 12 lepas walaupun tewas calon PAS, Ustaz Subri Mohd Arshad berjaya memberikan tamparan hebat apabila mengurangkan majoriti Pak Lah sehingga hampir sepuluh ribu undi.

Menurut sumber, masyarakat Tionghua tidak menyukai Reezal kerana isu tertentu sebaliknya mereka lebih senang dengan Helmi Rashid kerana beliau lebih berpengalaman dalam politik dan pentadbiran.

Tambahan lagi kem Umno Kepala Batas menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu setelah Pak Lah membuat pendirian tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya sekian lama.

Menurut Hafiz lagi, 'mood rakyat' kini lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat maka sebab itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang dengan tarikh pembubaran Dun.

Share on Myspace